Isnin, 6 September 2010

Rasuah Satu Jenayah.

Oleh NUR SHAHIRA ABDUL SHARIFF
Sepuluh tahun lagi negara kita yang tercinta, Malaysia bakal menginjakkan kaki ke angka 2020. Namun begitu, negara kita masih belum bebas daripada rasuah yang boleh memusnahkan impian dan harapan kita untuk merealisasikan Wawasan 2020. Di manakah silapnya sistem pentadbiran negara kita? Adakah pemimpin-pemimpin negara kita gagal membendung gejala rasuah ini? Atau rasuah ini merupakan permainan pembesar-pembesar negara kita? Hanya mereka sahaja mengetahui hakikat yang sebenar. Tetapi yang pastinya, rasuah merupakan satu jenayah yang amat besar. Negara yang masih belum bebas mengamalkan rasuah dianggap sebagai negara yang rapuh dalam sistem pentadbiran negara baik daripada segi ekonomi, politik dan sosial. Rasuah bukan sahaja menggugat kestabilan negara malah ia boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan meregangkan hubungan persahabatan serta kekeluargaan yang dibina berpuluh-puluh tahun yang lalu. Mahukah kita melihat segala kebahagiaan dan kesenangan yang kita perolehi hari ini lenyap dengan begitu sahaja? Tepuk dada tanya selera. Segala jawapan terletak di tangan kita sendiri.
Rasuah sama sekali ditegah dalam Islam. Ini kerana, rasuah langsung tidak mendatangkan kebaikan malah lebih banyak keburukan yang boleh merosakkan diri sendiri. Manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras dan rasional pasti dapat melihat betapa hina dan kejinya rasuah ini. Rasuah merupakan satu jenayah yang besar. Suatu jenayah yang mampu memporak perandakan kehidupan orang lain, Jika kita membunuh orang, kita pasti akan dihukum gantung sampai mati. Itulah hukuman untuk orang yang membunuh kerana membunuh merupakan suatu jenayah yang berat. Bagaimana pula dengan rasuah? Rasuah sama berat pertimbangannya dengan kes membunuh. Apakah hukuman yang seharusnya dikenakan kepada si perasuah? Sudah tentu hukumannya tidaklah seberat hukuman si pembunuh dengan hanya hukuman penjara dan denda wang ringgit. Sudah tentu mereka yang mempunyai wang yang banyak boleh mempermainkan institusi kehakiman kita. Wang ringgit sama sekali tidak menjadi masalah kepada orang yang berkemampuan. Hukuman ini sangat tidak adil sedangkan rasuah juga diibaratkan seperti membunuh kehidupan orang lain. Silap hari bulan rasuah juga mampu membunuh semua masyarakat Malaysia hari ini. Seharusnya hukuman yang sama seperti si pembunuh dikenakan kepada si pemberi dan penerima rasuah ini. Siapalah kita untuk mempertikaikan hukuman ini? Kita hanya orang bawahan yang mempunyai suara kecil di negara milik kita sendiri. Mereka yang mempunyai kuasa besar sahaja mampu mengubah segalanya. Suara mereka lebih didengari daripada suara kecil kita ini.
Pada 13 Februari 2010, kita digemparkan dengan satu berita yang bertajuk ‘Lapan Kes Rasuah Berprofil Tinggi ditutup Selepas disiasat’. Berita tersebut menerangkan dengan jelasnya bahawa sebanyak lapan kes rasuah berprofil tinggi yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, tidak akan dibawa ke mahkamah termasuk yang melibatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull berkata kesemua kes tersebut telahpun selesai disiasat dan telah dimajukan kepada Timbalan Pendakwaraya, bagaimanapun ia diputuskan tiada pendakwaan akan dibuat. Kes-kes lain yang turut ditutup termasuklah melibatkan bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator, Datuk T. Murugiah, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jawi, Pulau Pinang Teoh Beng Huat, anggota DUN Batu Tiga, Selangor Rodziah Ismail serta dua anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat yang didakwa cuba merasuah calon Bebas DUN Penanti, Pulau Pinang, Aminah Abdullah. Kenapa kes-kes mereka yang berprofil tinggi ini ditutup? Alasannya kerana bukti yang dikemukakan tidak kuat dan bukti yang ada seharusnya mencecah 90%. Pasti belegar-legar di fikiran masyarakat kita, kenapa kes yang melibatkan kuasa-kuasa besar ini diambil mudah sahaja. Adakah kes rasuah yang lebih besar dosanya daripada jenayah juga dipolitikkan?
Rasuah merupakan suatu jenayah tapi kenapakah ia dipolitikkan? Persoalan ini yang selalu bermain di minda dan akal rakyat Malaysia apabila hampir setiap hari mereka disogok dengan cerita-cerita sensasi mengenai pembesar-pembesar negara yang sewenang-wenangnya membunuh kehidupan orang lain dengan cara yang keji iaitu rasuah. Tapi hanya kerana mereka mempunyai kuasa yang besar, jenayah rasuah yang mereka lakukan mendapat pelepasan berbanding dengan orang-orang bawahan. Janganlah kerana ada kuasa yang besar, mereka merasakan mereka mampu melakukan apa sahaja. Mereka fikir dengan wang ringgit boleh membeli apa sahaja di dunia ini. Disebabkan mereka memperjudikan rasuah, mereka telah membunuh kehidupan orang lain serta memusnahkan kebahagian seluruh keluarga orang yang terlibat dalam kancah rasuah mereka ini. Adakah dengan wang ringgit mereka yang berjuta ringgit itu mampu membeli kembali nyawa orang lain? Atau wang ringgit itu mampu mengembalikan sejarah kebahagian orang lain? Ya, duit boleh membeli segala-galanya tapi sudah terang lagi bersuluh duit tidak mampu membeli nyawa dan kebahagian manusia. Rasuah adalah lebih besar daripada jenayah. Ia bukan sahaja mampu membunuh kehidupan orang yang terlibat malah dengan sekelip mata rasuah itu sendiri boleh menggugat kestabilan negara. Negara yang telah maju dan gah dengan pembangunan juga mampu musnah dengan begitu sahaja hanya kerana rasuah.
Sejak menjadi negara yang merdeka hinggalah sekarang, Malaysia masih belum bebas sepenuhnya daripada isu rasuah ini. Masih ramai lagi rakyat kita yang mengamalkan rasuah dalam kehidupan seharian mereka. Bagi mereka, ianya tidak salah asalkan ia mampu memenuhi kepuasan dan nafsu jahat mereka. Menurut pakar negara, negara kita, merupakan negara yang paling hebat dalam kancah jenayah rasuah baik daripada pihak orang bawahan mahupun orang atasan, amalan rasuah ini sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian mereka. Rasuah sudah sebati dan sama sekali tida asing lagi dalam kehidupan mereka. Mereka dengan bangganya membeli rasuah yang secara tidak langsung menjual maruah negara, agama dan bangsa. Di manakah cinta mereka kepada negara, agama dan bangsa? Jati diri mereka yang teguh dibina sebelum ini hanya lenyap dengan begitu sahaja apabila mereka disajikan dengan kemewahan yang sementara dan tidak membawa sebarang makna dalam kehidupan mereka.
Bagi memastikan negara kita bebas daripada jenayah, kita seharusnya memastikan tunggak negara iaitu pemimpin-pemimpin negara bebas daripada amalan rasuah. Namun begitu, impian itu hanya sekadar impian sahaja. Majoriti pembesar-pembesar negara lebih hebat dalam amalan rasuah ini. Tidak hairanlah, kebanyakan pemimpin kita mampu membeli kereta serta rumah berjuta-juta ringgit. Mereka bergaya dengan aset-aset harta mereka itu dengan hasil wang yang haram. Mereka dengan megahnya mengatakan segala kemewahan yang mereka perolehi ini datang daripada usaha gigih mereka tapi pada hakikatnya ia adalah hasil titik peluh orang lain yang telah dicuri oleh mereka. Inikah sikap pemimpin yang perlu disanjungi selama ini.
Kebanyakan orang memperjudikan rasuah semata-mata untuk cepat memperolehi kemewahan dan kesenangan dalam kehidupan kita. Bayangkan, gaji mereka hanya 15 ribu ringgit tetapi dengan memberikan maklumat yang tidak boleh dijual, mereka mampu memperolehi hampir berjuta ringgit. Siapa yang tidak mahu duit sebanyak itu yang mampu menampung seumur kehidupan mereka? Hanya mereka yang mempunyai iman yang kuat dan teguh sahaja tidak akan memandang kekayaan yang sementara itu. Walaupun rasuah semakin menjadi-jadi di negara kita, kita juga seharusnya memuji tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) kerana telah berusaha dengan gigihnya tanpa penat dan lelah bagi membanteras jenayah rasuah. SPRM yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah, Malaysia atau singkatannya BPR mula beroperasi pada 1 Oktober 1967 sebagai sebuah jabatan penuh. BPR hanyalah sebuah unit kecil yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pencegahan khususnya ceramah. Pada masa itu juga, siasatan kes-kes rasuah dijalankan oleh Cawangan “Special Crime” yang diletakkan di bawah Jabatan Polis. Manakala pendakwaan kes- kes rasuah dikendalikan oleh Bahagian Pendakwaan, Kementerian Undang-Undang.
Pada 1 Julai 1973, Akta Biro Siasatan Negara (BSN) diluluskan oleh Parlimen dan dengan itu BPR ditukar namanya kepada Biro Siasatan Negara atau BSN. Penukaran nama ini bertujuan untuk memberi tugas yang lebih kuasa kepada Biro yang bukan sahaja menyiasat kes-kes yang berkaitan dengan kepentingan negara. Inilah kali pertama jabatan ini ditubuhkan melalui sebuah Akta. Nama Jabatan ini kemudiannya ditukar kembali kepada nama asal iaitu BPR pada 13 Mei 1982 apabila Akta Badan Pencegah Rasuah, 1982 diluluskan oleh Parlimen dan dikuatkuasakan. Bermu1a pada 1 Januari 2009 , SPRM beroperasi sebagai sebuah badan yang mengambil alih sepenuhnya tugas BPR. Tugas utama SPRM ialah mendidik orang rami supaya jauh daripada rasuah dan memerangi rasuah sepenuhnya daripada merebak dalam negara kita. Itulah serba sedikit tugasan SPRM dan sebenarnya tugas mereka lebih besar daripada sangkaan kita. Bagaimanakah mereka menjalankan tugasan mulia ini? Oleh itu, sebuah penghargaan yang tinggi perlu diberikan kepada ahli SPRM yang berusaha sedaya upaya mereka untuk mendidik anak Malaysia daripada mengamalkan rasuah.
Menurut pandangan Dr Mohd Ridwan Tee Abdullah, rasuah merupakan pertikaian antara syurga dan neraka. Siapa yang memberi mahupun menerima rasuah akan dihumbat dalam neraka. Sudah termaktub dalam Al-Quran, rasuah sama sekali ditegah dan dilarang dalam Islam. Sesiapa yang cinta dan taksub kepada rasuah, mereka dengan secara automatiknya akan dihumbat ke dalam neraka Allah. Itu janji Allah dan ianya sudah semestinya ditunaikan. Melalui pemerhatian Pensyarah Universiti Putra Malaysia ini, Malaysia tidak boleh lari daripada politik. Apa sahaja bidang di negara kita, pasti akan dipolitikkan termasuklah rasuah. Seperti yang kita ketahui, rasuah merupakan satu jenayah tapi kenapa dengan mudahnya ia dipolitikkan? Besar sangatkah kuasa politik sehingga ia mampu mempertaruhkan rasuah sehingga membunuh anak bangsa sendiri. Kes yang menjadi bualan hangat baru-baru ini ialah mengenai kes Teoh Beng Hock. Isu Teoh Beng Hock telah diambil kesempatan dan digunakan sepenuhnya oleh pihak-pihak tertentu bukan sahaja bagi meraih sokongan masyarakat terhadap fahaman politik mereka malahan menimbulkan perasaan kebencian terhadap pihak berkuasa dan kerajaan yang memerintah. Ada juga segelintir masyarakat megheret nama SPRM sebagai dalang utama yang menyebabkan kematian Teoh Beng Hock.
Akibat daripada fitnah yang tidak berasas ini telah menyebabkan SPRM menjadi lemah semangat dan tidak mempunyai kekuatan untuk meneruskan misi mereka bagi membanteras rasuah daripada terus menular di dalam negara kita. Apa sudah jadi dengan dua pegawai pejabat ADUN Selangor berhubung kes pasir ini? Kenapa didiamkan perkara ini? Janganlah dek desakan dan hentaman pembangkang, SPRM menjadi semakin takut untuk menegakkan keadilan. SPRM harus berani bertindak dan jangan tunduk kepada desakan serta tekanan mereka. Ini hanyalah mainan politik untuk mengaburi rakyat atau mengalih perhatian terhadap isu sebenar iaitu rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh mereka. Adalah tidak wajar dan amat merbahaya jika rasuah dijadikan isu politik. Ini kerana apa jua usaha atau tindakan pihak berkuasa untuk memeranginya khususnya dalam tindakan penyiasatan akan dijadikan modal politik untuk menyerang agensi terbabit atau kerajaan yang memerintah. Bagi memerangi jenayah rasuah ini, kita tidak seharusnya melepaskan semua tanggungjawab kepada SPRM. Rasuah haruslah dibanteras oleh semua pihak. Janganlah kita menuding jari ke arah orang lain kerana tindakan ini ternyata tidak menguntungkan mana-mana pihak. Untuk membanteras rasuah ini, marilah kita bersama-sama membantu pihak SPRM bagi mengembleng gejala rasuah ini daripa berleluasa. Semoga negara kita akan bebas daripada gejala rasuah pada tahap sifar. Insyaallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan