Selasa, 7 September 2010

KES PEMBUANGAN BAYI

Pendidikan agama mampu membendung kes pembuangan bayi
Sudah 53 tahun negara kita mengecapi kemerdekaan dan bebas daripada penjajahan British. Namun begitu, tingkah laku anak-anak muda zaman sekarang jelas menunjukkan minda mereka masih dijajah sepenuhnya. Rata-rata anak-anak muda zaman sekarang terjebak dengan budaya luar yang mampu memusnahkan kehidupan mereka sendiri. Daripada gejala mat rempit dan minah rempit kini kita digemparkan dengan berita mengenai kes pembuangan bayi. Siapa lagi yang melakukan perbuatan terkutuk ini? Kalau tidak lain tidak bukan anak-anak muda kita terutama sekali anak Melayu yang masih tidak sedar bahawa tindakan mereka ini hanya mampu merosakkan diri mereka sahaja.
Saban hari kita mendengar berita bayi dibuangkan di merata tempat termasuk ke dalam longkang, tong sampah, tandas dan tidak kurangnya di perkarangan rumah ibadat. Runtun hati saya apabila melihat insan yang sepatutnya paling dikasihi dan dipelihara iaitu bayi diperlakukan sedemikian rupa. Di manakah perginya perasaan kasih-sayang dalam diri mereka? Allah telah mengurniakan mereka sebaik-baik akal untuk menimbangkan antara perkara yang baik dan buruk. Tetapi tindakan mereka ini ternyata menunjukkan mereka tiada bezanya dengan haiwan malah lebih buruk lagi daripada haiwan. Haiwan yang tidak dikurniakan akal pun tahu menyanyangi anak mereka. Apakah sebabnya perkara ini semakin berleluasa sehingga Menteri Pembangunan Wanita, Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan pendapatnya untuk menghukum pembuang bayi dengan hukuman mati?
Puncanya hanya satu iaitu kerana kurangnya pendidikan agama dan akhlak dalam diri anak-anak zaman sekarang. Jika ibu bapa memberi pendidikan agama yang secukupnya tidak mustahil kehamilan anak luar nikah tidak akan berlaku dalam negara kita. Ibu bapa lebih mementingkan kejayaan anak-anak dalam bidang akademik daripada membangunkan akhlak anak-anak mereka. Disebabkan kurangnya pendidikan agama maka lahirlah anak-anak yang mementingkan budaya hedonisme iaitu keseronokan dunia yang terlampau dan membawa mereka ke jalan kemusnahan.
Mereka lebih mengikut kehendak hawa nafsu mereka semata-mata. Apabila bisikan syaitan telah menguasai diri mereka, maruah diri lenyap begitu sahaja. Yang menjadi mangsa ialah anak luar nikah yang tidak berdosa ini. Disebabkan si ibu tidak mahu menanggung malu kerana melahirkan anak luar nikah, bayi yang dikandung sembilan bulan sanggup dibuang ke dalam lubang najis. Zalim sungguh manusia zaman sekarang. Apabila tiada pertimbangan diri, dosa dan pahala tidak mampu dibezakan lagi. Mereka sanggup melakukan dua kali dosa semata-mata mahu menutup malu. Dosa pertama mereka ialah melakukan maksiat bersama pasangan mereka sendiri dan kemudiannya membunuh anak yang tidak berdosa itu. Jika pegangan agama dalam diri mereka kukuh pasti kes kehamilan anak luar nikah dan sekaligus kes pembuangan bayi tidak akan berleluasa di negara kita.
Menurut pandangan saya, semua pihak seharusnya berganding bahu dalam menangani kes pembuangan bayi ini. Ibu bapa bertanggungjawab untuk mencorak kehidupan anak-anak mereka. Anak-anak ini ialah ibarat kain putih manakala ibu bapa adalah pencorak yang mencorakkan kain putih itu. Mereka seharusnya memberikan pendidikan agama dan akhlak yang sempurna kepada anak-anak mereka. Jangan biarkan mereka terjebak dengan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah S.W.T. Kerajaan juga membawa peranan yang besar dalam membentuk generasi masa kini. Kerajaan harus mengadakan pelbagai aktiviti yang dapat membangunkan jati diri anak muda kita. Selain itu, media sendiri merupakan medium yang membawa anak-anak muda ke satu saluran yang berguna. Media seharusnya lebih banyak memaparkan program-program keagamaan yang mampu menarik anak-anak muda untuk menontonnya dan secara tidak langsung mampu mempengaruhi kehidupan seharian mereka ke jalan yang diredhai Allah S.W.T. Insyaallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan