Isnin, 6 September 2010

Pembangunan Ekonomi yang Seimbang Pencetus Kejayaan Satu Malaysia

‘Maka kami rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip berikut iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan’, ikrar ini sering kali bergema di ruang-ruang sekolah pada waktu pagi. Setiap rakyat Malaysia pastinya pernah melafazkan prinsip Rukun Negara di sekolah suatu ketika dahulu. Bagi mereka yang masih bersekolah, pastinya rutin itu masih dteruskan sebagai tanda cinta dan kepatuhan kepada negara. Prinsip Rukun Negara ini sudah disemai sejak alam persekolahan lagi dan telah meresap dalam darah yang mengalir dalam tubuh kita.
Namun begitu, tidak semua masyarakat kita mengerti erti sebenar prinsip Rukun Negara itu. Ikrar yang dilafazkan hanya dilafazkan daripada mulut semata-mata dan bukannya daripada jiwa dan hati yang luhur. Jika masyarakat mengetahui sejarah terhasilnya prinsip Rukun Negara ini pasti mereka akan mula sedar betapa pentingnya menghayati dan menghargai lima prinsip Rukun Negara ini dengan sepenuh hati mereka.
Prinsip Rukun Negara dihasilkan setelah melihat perpecahan negara yang berlaku angkara tragedi 13 Mei 1969. Tragedi hitam itu telah menggegar seluruh negeri di Malaysia kerana tragedi ini telah membuka mata masyarakat bahawa betapa goyahnya perpaduan kaum di antara masyarakat Cina dan Melayu pada masa itu. Pertengkaran antara dua kaum yang terbesar di Malaysia ini telah menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dan usaha untuk menjernihkan hubungan di antara kedua-dua kaum ini menemui jalan buntu.
Peristiwa tersebut telah mendedahkan kepada kita semua bahawa survival Malaysia sebagai sebuah negara bangsa dan sistem sosial yang kukuh, tidak semata- mata teletak kepada pertumbuhan ekonomi yang baik dan kestabilan politik yang mantap. Apa yang lebih penting dalam konteks Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk ialah usaha berterusan untuk memupuk dan menghasilkan hubungan etnik yang harmonis. Berdasarkan pengalaman 13 Mei 1969, ternyata faktor hubungan etnik yang harmonis menjadi anak kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan politik.
Tragedi berdarah ini telah memberi beberapa pengajaran penting kepada ahli-ahli politik dan setiap rakyat Malaysia, bak kata pepatah, “yang baik buat teladan, yang buruk buat sempadan.” Daripada peristiwa ini, terang lagi bersuluh, ia menyatakan bahawa rusuhan kaum tidak menguntungkan sesiapa. Malahan, rusuhan kaum merugikan semua pihak dengan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. Selain itu, langkah-langkah konkrit harus diambil untuk mengeratkan perpaduan nasional dan keharmonian antara kaum. Perpaduan nasional juga tidak akan tercapai sekiranya terdapat sebilangan besar rakyat yang miskin. Akhir sekali, peristiwa 13 Mei telah memberi pengajaran bahawa setiap rakyat harus menghormati satu sama lain.
Bagi membendung tregedi seumpama ini berlaku lagi di tanah tumpah darah kita, kerajaan Malaysia telah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara dan kini dikenali sebagai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) pada tahun 1969 untuk memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum.
JPNIN kini juga dipertanggungjawabkan memantapkan integrasi nasional iaitu merapatkan masyarakat daripada semua negeri di Malaysia khususnya antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Usaha-usaha lain yang diambil oleh kerajaan untuk memupuk perpaduan nasional dan hubungan etnik yang harmonis ialah pengenalan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, pergabungan politik-politik melalui Barisan Nasional dan integrasi antara wilayah.
Prinsip Rukun Negara merupakan jalan penyelamat bagi memastikan hubungan antara kaum kukuh sehingga ke hari ini. Lima prinsip dalam Rukun Negara telah ditekankan dan diterapkan dalam diri masyarakat agar perpaduan kaum di Malaysia yang terdiri daripada orang Melayu, Cina, India dan semua rumpun etnik di Malaysia dapat dikukuhkan seperti ‘isi dan kuku’. Dengan terhasilnya prinsip Rukun Negara, hubungan baik di antara semua kaum di Malaysia dapat ditingkatkan dan perasaan saling sayang-menyanyangi wujud dalam kelompok masyarakat yang berbilang kaum ini.
Kesedaran rakyat berbilang kaum tentang hidup dalam suasana harmoni perlu ditekankan agar setiap rakyat tidak bertindak mengikut prinsip tertentu atas dasar politik, agama mahupun bangsa. Kehidupan tidak harmoni yang telah diterapkan kesan penjajahan British dan Jepun telah memberikan kesan yang cukup mendalam kepada negara kecil ini. Dasar pecah dan perintah telah merosakkan usaha untuk mengharmonikan rakyat Malaysia. Justeru, rakyat perlu kembali disedarkan bahawa wujudnya nilai-nilai yang menyeluruh ke arah perpaduan dan persefahaman kaum.
Oleh sebab itu, Rukun Negara digariskan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam melahirkan rakyat yang hidup aman dan damai walaupun berbeza bangsa dan agama. Masyarakat yang demokratik meletakkan kuasa di tangan rakyat dalam menentukan kerajaan menerusi pilihanraya yang bebas. Manakala masyarakat yang progresif dicipta untuk mewujudkan warganegara yang berbudaya ilmu dan demi mewujudkan rakyat yang cukup pengetahuan untuk membangunkan negara. Masyarakat yang liberal pula diberikan kebebasan mengamalkan budaya kaum serta memelihara budaya kebangsaan.
Demi mengikat dan membina perasaan semangat cintakan negara di kalangan rakyat, Rukun Negara diisytiharkan secara rasminya oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970. Usaha itu diteruskan untuk kekal sebagai panduan kepada rakyat di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan kampung.
Kini era baru telah bermula, di bawah pucuk kepimpinan Yang Berhormat Datuk Seri Najib Razak, konsep 1 Malaysia telah diperkenalkan untuk memantapkan perpaduan kaum di Malaysia. Konsep Satu Malaysia semakin hari semakin meniti di bibir masyarakat. Tujuan utama menghasilkan konsep Satu Malaysia semata-mata mahu mengembalikan kejernihan perpaduan antara semua kaum yang tercemar angkara perebutan hak masing-masing bagi memperolehi jalan hidup yang mudah dan senang. Sebagai negara yang berbilang kaum, setiap kaum di Malaysia seharusnya bertolak ansur dan tidak tamak untuk membolot hasil kekayaan bumi Malaysia.
Menurut pandangan Perdana Menteri Malaysia keenam, konsep Satu Malaysia membawa maksud yang sangat besar kepada setiap individu masyarakat di Malaysia. Di bawah konsep Satu Malaysia ini, ia membawa erti bahawa kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dengan terhasilnya konsep ini, ia sama sekali tidak bererti bahawa dasar konsep Satu Malaysia telah menolak terus dasar afirmatif iaitu dasar untuk membantu kaum Bumiputera. Dasar tersebut masih dipraktikkan asalkan ianya adil dan pertimbangan akan diberikan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu hak istimewa daripada kerajaan.
Melalui corak kepimpinan Datuk Seri Najib, pelbagai transformasi dicipta untuk menghasilkan suasana dan atmosfera Satu Malaysia ke dalam negara kita. Setiap kaum diberi peluang sama rata dan suara-suara masyarakat bukan Melayu seperti Cina dan India mula kedengaran di Dewan Parlimen.
Mereka diberi peluang untuk meluahkan perasaan dan memberi buah idea terhadap sistem pemerintahan di Malaysia. Disebabkan kelantangan mereka menyuarakan pendapat, suatu kejadian yang tidak diingini telah berlaku di mana masyarakat India yang merupakan kaum ketiga tertinggi di sini telah mengadakan satu demokrasi bagi menentang wakil pemimpin untuk masyarakat mereka. Mereka memerlukan seorang pemimpin yang berwibawa dan mampu untuk mempertahankan hak mereka selama ini.
Suatu demokrasi masyarakat India yang dikenali sebagai Hindraf telah menimbulkan kekecohan dan menyukarkan pihak pembesar untuk mengawal kemarahan dan ketidakpuasan hati mereka ini. Disebabkan perasaan bertanggungjawab, pemimpin-pemimpin Malaysia tanpa mengira kaum dan agama bersama-sama bergading bahu menangani masalah ini. Akhirnya permasalahan besar ini dapat diselamatkan. Dari situ, kita sudah dapat melihat hubungan perpaduan di antara kaum yang sama sekali menolak perasaaan ‘tidak mahu menjaga tepi kain orang lain’ telah menular di kalangan masyarakat khususnya daripada pemimpin-pemimpin negara.
Transformasi Satu Malaysia bukan sahaja melalui perhubungan di antara semua etnik dan kaum di Malaysia tetapi satu transformasi telah berlaku dalam sistem ekonomi Malaysia. Pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan pertumbuhan ekonomi dengan pertumbuhan sektor pembuatan telah menukar parameter akonomi negara. Pertumbuhan yang pesat ini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia telah mengalami transformasi struktur iaitu daripada bentuk ekonomi yang berasaskan pertanian kepada satu bentuk ekonomi yang pantas menuju ke taraf ekonomi negara perindustrian.
Jika dilihat daripada perspektif Sejarah Malaysia, penjajah British telah menggalakkan perkembangan masyarakat secara plural melalui dasar Pecah dan Perintah. Pihak British telah menggalakkan kedatangan tenaga buruh dari negara China dan India semata-mata untuk kepentingan penjajah dalam sektor perlombongan, pertanian dan perladangan. Kepincangan yang wujud hasil perlaksanaan dasar Pecah dan Perintah adalah puncanya berlaku peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Ekoran peristiwa rusuhan kaum ini telah memaksa kerajaan merangka satu dasar yang bersepadu.
Oleh itu, dasar yang dikenali Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilaksanakan yang bertujuan membetulkan keridakseimbangan ekonomi antara kaum di Malaysia. Bagaimanapun dasar ini tidak berjaya mencapai matlamat sepenuhya. Justeru, kerajaan terpaksa menjalankan langkah lain yang sewajarnya bagi menjamin partumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan pada masa yang sama mewujudkan keseimbangan antara kaum.
Pada hari ini, ekonomi negara bergolak kembali seperti tempoh masa yang lalu. Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan berita mengenai seorang lelaki Cina mahu membakar diri semata-mata kerana kedai makanan yang pernah dibina beberapa tahun lalu ditutup kerana mahu memuaskan hati orang Melayu. Kedai makanan di KOMTAR, Pulau Pinang akan ditutup disebabkan pemimpin Pulau Pinang merasakan diri beliau diugut oleh seorang lelaki Melayu yang menyatakan bahawa periuk nasi orang Melayu semakin hari semakin merosot disebabkan ketidakseimbangan ekonomi di Pulau Pinang di mana majoriti orang Cina menguasai ekonomi di negeri tersebut sehingga masyarakat Melayu sendiri dihimpit dalam kemiskinan.
Melalui rentetan daripada peristiwa itu, ianya jelas menunjukkan konsep Satu Malaysia dari segi ekonomi masih dalam peringkat tidak berjaya. Kerajaan perlu menitik beratkan mengenai isu ini. Kepincangan kaum di Pulau Pinang jelas menunjukkan hubungan di antara pelbagai kaum masih sukar untuk dikukuhkan. Hubungan di antara pelbagai suku kaum di Malaysia masih ada jurang yang sangat besar. Dengan itu, konsep Satu Malaysia perlu ditekankan dan diterapkan dalam jati diri masyarakat Malaysia supaya keamanan negara dapat dikekalkan. Sebelum kerajaan ingin melakukan transformasi Satu Malaysia kepada bidang yang lain, sistem ekonomi seharusnya diambil kira dahulu. Ini kerana, berdasarkan sejarah lampau, jurang di antara kaum bermula apabila pihak penjajah melakukan konsep segregasi dalam sistem ekonomi negara. Konsep segrasi itu sendiri merupakan pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara.
Walaubagaimanapun, sikap kerajaan untuk melakukan perubahan dalam sistem pentadbiran negara untuk membangunkan dan mengukuhkan institusi perpaduan antara kaum harus dipuji. Bagi mengasilkan sesebuah gagasan dan institusi itu bukannya sesuatu perkara yang mudah. Ia amat sukar untuk dilaksanakan dan usaha kerajaan untuk melakukan transformasi Satu Malaysia dalam sistem pentadbiran negara merupakan satu tindakan yang bijak dan rasional.
Dalam Belanjawan 2010, sebahagiaan daripada usaha kerajaan adalah untuk melaksanakan kaedah perawatan piawai paling tinggi untuk semua rakyat Malaysia. Kerajaan telah mengumumkan penubuhan Klinik 1 Malaysia yang baru di seluruh negara dengan bernilai RM10 juta. Klinik-klinik ini diilhamkan dalam semangat "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" untuk memberikan rawatan kesihatan segera kepada semua rakyat Malaysia di kawasan-kawasan perumahan yang memerlukan perkhidmatan mudah.
Penduduk-penduduk yang tidak berupaya mendapat rawatan daripada klinik swasta sama ada kerana klinik-klinik ini jauh dari tempat tinggal mereka atau kerana perkhidmatan mereka terlalu mahal, kini mereka telah mempunyai alternatif yang praktikal iaitu dengan mendapatkan rawatan di Klinik 1 Malaysia yang menampung lebih daripada perkhidmatan kesihatan yang sedia ada.
Klinik 1 Malaysia ialah klinik masyarakat yang ditempatkan dengan strategiknya dan dibuka setiap hari selama 12 jam dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Jururawat-jururawat dan pembantu-pembantu kesihatan yang berkelayakan dengan pengalaman bekerja yang tidak kurang daripada lima tahun akan menyediakan rawatan yang berkualiti dengan hanya berharga RM1 manakala penduduk bukan rakyat Malaysia dikenakan bayaran sebanyak RM15.
Setakat ini Klinik 1 Malaysia begitu masyur sekali tetapi kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dengan kejayaan ini. Kerajaan akan terus memantau keberkesanan klinik-klinik ini bagi memastikan keperluan rakyat diuruskan dengan secukupnya. Bagi kerajaan, kepentingan rakyat lebih diutamakan daripada diri mereka sendiri. Itu prinsip bekerja yang diamalkan oleh pihak kerajaan.
Sudah menjadi lumrah, setiap perkara yang dilakukan oleh pihak kerajaan tidak semuanya memuaskan hati semua pihak. Ada segelintir tindakan yang kerajaan lakukan akan mengundang rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat. Kebanyakan rakyat tempatan yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman meluahkan perasaan kecewa mereka terhadap pihak kerajaan kerana tidak mempunyai inisiatif untuk membina sebuah klinik 1 Malasia di kawan penempatan mereka.
Tindakan kerajaan memilih kawasan-kawasan penempatan untuk didirikan klinik 1 Malaysia secara rawak adalah tidak adil dan sama sekali tidak wajar dilakukan oleh pihak kerajaan. Kerajaan perlu membina klinik 1 Malaysia berdasarkan kawasan yang penduduk mempunyai pendapatan rendah tetapi bukannya di kawasan bandar yang dikelilingi oleh orang yang berkemampuan dan hidup dalam keadaan mewah. Tindakan kerajaan ini menunjukkan kurangnya daya kepekaan kerajaan terhadap sesuatu keadaan yang berkaitan mengenai permasalahan rakyat. Dengan terbinanya klinik 1 Malaysia di kawasan pedalaman dapat meringankan beban masyarakat dan warga tua tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan di klinik 1 Malaysia.
Kemiskinan adalah salah satu masalah sosial yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan. Kadar kemiskinan ini sangat ketara terutamanya di kalangan kaum Bumiputera yang beragama Islam. Justeru, kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang perlu dalam menangani masalah ini misalnya dengan penyusunan semula masyarakat. Dalam proses penyusunan semula masyarakat, kerajaan telah mengadakan pelbagai langkah antaranya ialah menambahkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan dan perindustrian. Selain itu, menambahkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat. Contohnya melalui Tabung Haji Negara. akhir sekali membangunkan kawasan luar bandar supaya pembangunannya seiring dengan pembangunan di kawasan bandar. ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ merupakan moto yang sentiasa tersemat di hati pihak kerajaan. Kerajaan diibaratkan seperti lilin yang membakar diri mereka untuk orang lain. Pelbagai corak dan bentuk transformasi telah dilakukan oleh pihak kerajaan semata-mata untuk memastikan matlamat konsep Satu Malaysia tercapai dengan jayanya. Dasar Satu Malaysia mempunyai misi yang sangat besar kepada rakyat Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk. Oleh itu, sokongan padu daripada rakyat amat diperlukan bagi melunaskan impian untuk menjadikan Satu Malaysia sebagai dasar dan panduan untuk kehidupan sejagat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan