Isnin, 27 September 2010

Pemberitaan Sensasi: antara etika dan tanggungjawab sosial

Pada 25 September yang lalu, saya dan rakan-rakan kelas saya telah diwajibkan untuk menghadiri satu kolokium media yang ke -23 yang telah dianjurkan oleh pelajar semester 5, jurusan Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bagi membincangkan isu terkini dalam dunia kewartawanan dan prestasi media massa serta perkembangan dunia kewartawanan sama ada di dalam negara mahupun luar negara.
Kolokium ini dianjurkan semata-mata untuk mengupas isu berkaitan pemberitaan sensasi: antara etika dan tanggungjawab sosial dari perspektif agama, media massa dan akademik. Seperti yang kita maklum, dunia kewartawanan di negara kita semakin hari semakin kurang isinya tapi penuh dengan isu-isu sensasi semata-mata ingin menarik orang ramai mengikuti perkembangan berita mereka. Sebagai seorang pelajar jurusan Kewartawanan, hati saya tertanya-tanya adakah tugas saya sebagai seorang wartawan harus menghasilkan isu yang sensasi semata-mata sehingga tidak mengambil kisah fakta sebenar yang terkandung dalam sesuatu berita itu. Dengan itu, program yang sarat dengan ilmu pengetahuan ini mampu menjawab segala pertanyaan saya ini.
Kedatangan saya dan rakan-rakan saya ke dalam Dewan Menara Sains dan Teknologi telah membawa harapan besar untuk memikul seberapa banyak ilmu dan pengetahuan berkaitan dengan dunia kewartawanan. Lebih-lebih lagi isu yang dibincangkan adalah mengenai pemberitaan sensasi: antara etika dan tanggungjawab sosial. Tajuk program itu membawa maksud yang sangat besar dalam selok belok kehidupan insan yang bernama wartawan. Harapan kami hanya satu, semoga program ini dapat mendidik kami menjadi seorang wartawan yang bukan sahaja bijak dalam mengarang malah mampu menghasilkan satu berita yang benar, tepat serta jelas dan mampu menarik orang ramai terpegun dengan gaya penulisan kami.
Menurut Dr. Rahmat sebagai pengacara majlis program tersebut, sensasi membawa maksud sebagai deria rasa dan apabila digabungkan perkataan sensasi itu, ia akan membawa maksud sebagai membangkitkan deria rasa manusia terhadap suatu rangsangan. Dr. Rahmat berpendapat untuk menghasilkan suatu berita yang baik, elemen sensasi perlu disuntik dalam berita itu bagi memastikan berita yang dilaporkan dapat menarik orang ramai untuk mengikutinya. Jika berita yang dihasilkan semata-mata penuh dengan fakta pasti intipati dalam berita itu tiada corak dan warnanya. Ia ibarat seperti dinding putih yang tidak mempunyai sebarang warna dan corak ke atasnya. Begitu juga dengan suatu berita yang ingin dilaporkan, acuan sensasi perlu ditambahkan dalam berita tersebut bagi menghasilkan suatu berita yang bervariasi dan mempunyai rentaknya yang tersendiri.
Namun begitu, persoalan pertama yang pasti muncul dalam fikiran kita, adakah pemberitaan sensasi memenuhi prinsip etika kewartawanan dalam melaporkan berita? Tiga orang panel telah dijemput untuk mengupas berkaitan isu ini dari perspektif agama, media massa dan akademik. Seorang panel yang sangat arif dalam selok belok industri Kewartawanan ini iaitu Kamarul Bahrin Haron merupakan Eksekutif Editor di Astro Awani selain menjadi teraju utama bagi program Sudut Pandang di Astro Awani.
Beliau secara peribadinya menyatakan bahawa apabila seseorang itu memasuki industri kewartawanan secara tidak langsung individu itu terpaksa meninggalkan kehidupan sebagai seorang pelajar untuk selama-lamanya. Ini kerana, setiap bidang mahupun subjek yang kita belajar di kampus mahupun sekolah tidak akan dipraktikkan dalam dunia sebenar seorang wartawanan. Industri kewartawanan penuh dengan cabaran dan halangan. Katanya, untuk menjadi seorang wartawan yang berjaya, kita seharusnya berani melontarkan pendapat mengenai sesuatu isu. Kita jangan sesekali gentar untuk menyahut cabaran dan sedia menerima tohmahan, kritikan mahupn kata cerca orang terhadap diri kita. Kita seharusnya berani mempertahankan pendapat kita agar semua orang mengetahui hakikat sebenar berita itu.
Beliau juga menegaskan bahawa pemberitaan yang berbau sensasi diperlukan dalam menghasilkan satu berita yang dapat memberikan kesan mendalam kepada orang ramai. Jika elemen sensasi tidak disuntik ke dalam berita itu, pasti orang ramai tidak akan mengambil kisah mengenai isu berita yang ingin disampaikan kepada orang ramai. Sebagai contoh, isu orang Islam di Gaza yang telah diseksa dengan kejam oleh orang Israel. Jika wartawan tidak membuat liputan mengenai berita itu dengan penuh kesensasian pasti orang ramai hanya meandang ringan mengenai isu itu. Walaupun begitu, seorang wartawan yang baik pasti akan menghasilkan satu berita yang penuh dengan sensasi yang tidak melampaui batas dan masih mengekalkan fakta dan isu yang benar.
Panel kedua, Pof. Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi berpendapat pemberitaan sensasi adalah semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai. Jika dilihat dengan mata kasar, kebanyakan cerita cerita kebenaran berdasarkan ilmiah tidak diberi perhatian berbanding dengan cerita yang telah disensasikan. Kebanyakan majalah lebih mensensasikan sesuatu cerita seperti Mastika yang terlampau mensensasikan cerita sehingga menarik emosi orang lain. Kini masyarakat berdepan dengan aliran yang suka mensensasikan cerita sehingga jauh terpesong daripada fakta sebenar. Tindakan mensensaikan cerita sama sekali ditegah dalam Islam. Ini kerana, sikap suka mensensasikan cerita boleh menggalakkan orang ramai untuk belajar berbohong. Menurut pendapat beliau, Islam membenarkan keterbukaan tetapi jangan sama sekali terlampau sensasi.
Panel ketiga, Prof Madya Fuziah Kartini Hassan Basri merupakan seorang Prof Madya di Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM). Prof Madya menyatakan bahawa media membawa peranan yang sangat besar dalam kehidupan seharian kita. Bagi pendapat beliau, tidak salah seseorang wartawan ingin mensensasikan sesuatu cerita itu tapi yang pentingnya terletak kepada niat di hati kita. Jika kita ingin mensensasikan cerita semata-mata ingin mengaut keuntungan, ianya bergantung kepada diri kita sendiri. Beliau juga menyatakan bahawa kewartawanan merupakan graf dan kayu ukur sejarah. Apabila menulis ianya dating daripada telinga, kemudian mata dan akhirnya turun ke hati. Ini jelas menunjukkan bidang penulisan merupakan bidang yang sangat penting dalam kehidupan seharian bagi menerangkan pokok sebenar sesuatu perkara. Bagi beliau sensasi sangat penting dalam sesuatu berita tetapi ianya masih perlu mengamalkan etika kewartawanan agar ianya tidak terpesong jauh dari cerita sebenar.
Melalui pengalaman saya mengikuti kolokium ini, saya masih merasakan banyak kekurangan dalam program ini. Harapan saya untuk membawa balik serba banyak ilmu berkaitan isu ini sama sekali tidak memenuhi kepuasan hati saya. Kebanyakan panel-panel tidak berani untuk mengupas isu ini dengan lebih mendalam. Mereka lebih menggunakan kenyataan yang selamat. Selain itu, penonton tidak memberikan respond dan tindak balas yang aktif terhadap program itu. Saya berharap semoga selepas ini, program-program sebegini dapat dianjurkan dengan lebih baik daripada program yang sebelumnya.