Jumaat, 8 Oktober 2010

Warga Indonesia dijatuhkan Hukuman Lima Tahun Penjara

KUALA LUMPUR: Seorang wanita Indonesia telah dijatuhkan hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 56.96 gram ganja (40 bungkus) di sebuah rumah setinggan di Lorong Raja Bot, Kuala Lumpur.
Syarial Wandang, 41 telah ditangkap malakukan kesalahan oleh pihak polis cawangan narkotik setelah menerima maklumat dari sumber yang tidak diketahui, pada kira-kira jam 9.15 malam 27 Ogos lalu
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Dalam perbicaraan, tertuduh memberitahu dia memiliki ganja itu untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk mengedarnya.
Tertuduh memberitahu, seorang kawan telah memperkenalkan cara itu untuk melupakan masalah peribadinya kerana teman lelakinya meninggalkannya.
Hakim Jabir Jamaluddin telah memerintah hukuman berkenaan berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.
Selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, tertuduh menangis dan merayu supaya dia tidak dikenakan hukuman penjara dan hanya diikat jamin kerana tidak sanggup dipenjara.
-end-

Isnin, 4 Oktober 2010

comparison of online jurnalism and offline jurnalism

'Ganyang Malaysia' merebak
Oleh Mohd Anwar Patho Rohnman di Jakarta
wananwar@bharian.com.my
2010/09/01
JAKARTA: Gerakan 'Ganyang Malaysia' merebak ke Kalimantan Barat apabila rumah seorang jurutera Malaysia di sebuah ladang sawit di daerah Ketapang dilempar batu besar, Ahad lalu, manakala dua kumpulan baru menyertai tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Malaysia di sini, semalam.
Kumpulan yang digelar Lumbung Informasi Rakyat (LIRA) dan Gerakan Rakyat Anti Malaysia (GERAM) turut memulakan kempen memboikot produk Malaysia dengan memasukkan anak tikus ke dalam plastik mengandungi anak patung siri kartun popular, Upin dan Ipin.Kira-kira 50 penunjuk perasaan berbaju merah putih sebelum itu berkumpul di depan bangunan pejabat Menara Rajawali yang menempatkan pejabat Petronas dan melaung-laungkan perkataan ‘Ganyang Malaysia’ sambil menaikkan sepanduk anti-Malaysia.
Kumpulan itu kemudian berjalan dan menunggang motosikal ke pejabat Kedutaan Malaysia pada jam 2.30 petang dan mengadakan tunjuk perasaan secara aman. Bagaimanapun, tiada kekacauan atau kejadian membaling najis seperti yang berlaku dalam tunjuk perasaan Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Malaysia (BENDERA), baru-baru ini.
Kira-kira 170 pegawai dan anggota Polis Indonesia turut membuat kawalan ketat di luar pintu masuk Pejabat Kedutaan Malaysia sejak jam 10 pagi.
Ketua penunjuk perasaan, Jojo Priosi yang menggunakan pembesar suara mengutuk Kerajaan Malaysia yang didakwa menghina kedaulatan dan rakyat Indonesia, gagal menangani dengan baik isu Tenaga Kerja Indonesia dan melakukan muslihat dalam isu sempadan.
Beliau juga mendakwa tindakan pejabat Kedutaan Malaysia menggaji rakyat Indonesia bekerja dan memanggil Polis Indonesia berkawal di luar pagar kedutaan sebagai menghina rakyat Indonesia.
Jurucakap GERAM yang mahu dikenali sebagai Sheila pula berkata, kumpulan itu mendesak Kerajaan Indonesia menjadikan Malaysia wilayah ke-34 republik itu jika Kuala Lumpur terus menunjukkan sikap tidak menghormati Indonesia.
Malah, katanya, GERAM akan melancarkan kempen memboikot produk Malaysia dan berhenti melawat Malaysia.
Sementara itu, Duta Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan, berkata rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan keselamatan keluarga mereka di negara ini.
Katanya, Kerajaan Indonesia menerusi Kementerian Luarnya dan Polis Indonesia memberi jaminan untuk menjaga keselamatan rakyat Malaysia sama ada yang bekerja, melancong atau belajar di negara ini.
“Kita dimaklumkan oleh pemerintah Indonesia yang mereka tidak berkompromi dalam soal keselamatan rakyat dan harta benda Malaysia di sini.
“Kita harap waris rakyat kita di Malaysia tidak bimbang dengan perkembangan yang berlaku ketika ini kerana tunjuk perasaan di sini dilakukan kumpulan kecil yang diupah pihak tertentu untuk mengeruhkan hubungan kedua-dua negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan rakyat Malaysia di Indonesia supaya berhati-hati dan tidak mengunjungi tempat awam yang dikenal pasti berpotensi menjadi sasaran penunjuk perasaan.
Menurut laporan Bernama pula, kejadian mengusir atau ‘sweeping rakyat Malaysia’ turut berlaku di di daerah Ketapang, Kalimantan Barat. Dalam kejadian 2 petang Ahad lalu, sekumpulan lima lelaki memakai pelekat di baju dengan tulisan ‘Ganyang Malaysia’ membaling seketul batu besar ke arah seorang jurutera Malaysia yang ketika itu membuka pintu untuk meninjau keadaan selepas mendengar bunyi bising di luar rumahnya.



Demo Jakarta: Bendera M'sia dibakar, diludah

Sumber: Malaysia Kini(2010)
Penunjuk perasaan di hadapan kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di situ hari ini.
Seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu berteriak "ganyang Malaysia" bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua-dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau 13 Ogos lepas.
Ketika emosi memuncak, penunjuk perasaan bergaduh dengan pasukan Polis Indonesia yang menghalang mereka daripada menghampiri pintu pagar untuk masuk ke dalam kawasan kedutaan.
Mereka membaling batu dan selipar ke arah polis. Seorang daripada mereka ditahan polis kerana membaling sebatang buluh, yang sebelum itu digunakan untuk mengibarkan bendera Indonesia, ke arah pasukan keselamatan.
Insiden pada 13 Ogos itu membabitkan penahanan tiga pegawai penguatkuasa laut Indonesia oleh Polis Marin Malaysia ekoran penahanan tujuh nelayan Malaysia oleh bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia kerana didakwa meneroboh.
Malaysia mempertahankan bahawa nelayan tersebut berada di perairan sendiri apabila ditahan oleh pihak penguatkuasa Indonesia itu. Kesemua tahanan itu telah dibebaskan pada 17 Ogos.
Kumpulan penunjuk perasaan hari ini menuntut Malaysia memohon maaf serta meminta kerajaan Indonesia memanggil balik Duta Besar Indonesia di Malaysia.
Keadaan reda apabila anggota kumpulan yang beremosi dapat ditenangkan oleh beberapa orang pemimpin kumpulan tersebut.
Sejak insiden 13 Ogos itu, beberapa demonstrasi dilakukan oleh kumpulan-kumpulan kecil antara 20 dan 40 orang sahaja namun ia tetap ganas sehingga ada yang bertindak merosakkan plak nama Kedutaan Besar itu, memanjat pintu pagar dan tembok pintu pagar dan berdiri di atasnya.
Kerosakan pada harta benda kedutaan besar itu telah dilakukan oleh penunjuk perasaan dari kumpulan Laskar Merah Putih. Penghinaan paling buruk dilakukan terhadap Malaysia ialah perbuatan melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini oleh penunjuk perasaan dari kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) pada Isnin lepas. Sementara itu, untuk hari kedua berturut-turut, kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan, Jakarta Selatan, terpaksa dikawal ketat oleh Polis Indonesia berikutan satu lagi ancaman demonstrasi dan melempar najis.
Semalam, kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) serta kumpulan gabungannya yang menamakan diri Pemuda Pemudi Anti Malaysia dilaporkan merancang melakukan perbuatan itu pada jam 10 pagi ini tetapi membatalkan niat itu atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Kumpulan sama bercadang meneruskan rancangan mereka namun sehingga petang ini, mereka belum muncul.
Seperti semalam, bahagian jalan di hadapan rumah Duta Besar Malaysia telah ditutup kepada lalulintas sejak pagi ini dan polis telah menempatkan para anggotanya di sekitar kawasan itu.
Aksi demonstrasi ini dilakukan bagi membantah insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia pada 13 Ogos.
Dalam insiden itu bahagian penguatkuasa kementerian dari Indonesia itu turut menahan tujuh nelayan Malaysia. Kedua-dua pihak mempertahankan bahawa penahanan itu adalah bagi kesalahan pencerobohan terhadap wilayah perairan masing-masing. Kesemua tahanan itu telah dibebaskan pihak berkuasa kedua-dua belah pihak pada 17 Ogos.
- Bernama







Laporan MalaysiaKini mengenai ‘Pergolakan Malaysia dan Indonesia’ lebih padat daripada Berita Harian
Keberkesanan serta kebijaksanaan kedua-dua media ini dalam menyampaikan berita telah menyebabkan saya tertarik untuk mengkaji perbezaan laporan yang disediakan Berita Harian dan MalaysiaKini dalam membuat liputan mengenai ‘Pergolakan Malaysia dan Indonesia’. Baru-baru ini Malaysia telah digemparkan dengan suatu berita mengenai hubungan dingin antara Malaysia dengan negara seberang iaitu Indonesia. Rakyat Indonesia tidak berpuas hati dengan Malaysia kerana dikatakan Malaysia tidak menghormati rakyat Indonesia. Insiden ini berlaku disebabkan penahanan tiga pegawai penguatkuasa laut Indonesia oleh Polis Marin Malaysia ekoran penahanan tujuh nelayan Malaysia oleh bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia kerana didakwa menceroboh.
Pada pendapat saya tajuk berita memainkan peranan yang sangat penting dalam penghasilan satu berita yang baik. Jika tajuk berita agak kabur maka keseluruhan teks berita juga akan malap dan sama sekali tidak dapat menarik perhatian orang ramai untuk membaca berita tersebut. Berita Harian telah membuat liputan mengenai isu ini dengan menggunakan tajuk berita yang berjudul ‘Ganyang Malaysia merebak’ pada 1 September tahun ini. Manakala MalaysiaKini telah menggunakan ‘Demo Jakarta: Bendera Malaysia dibakar, diludah’. Melalui pemerhatian saya, tajuk berita yang digunakan MalaysiaKini lebih jelas dan terang untuk menunjukkan situasi sebenar pergolakan kedua-dua negara. Seperti yang kita maklum, tidak semua orang yang membaca suratkhabar adalah terdiri daripada orang yang berpelajaran tinggi. Segelintir daripada mereka merupakan golongan yang kurang pengetahuannya. Pada mulanya, saya sendiri tidak mengetahui erti sebenar perkataan ‘ganyang’ disebabkan saya tidak terdedah dengan perkataan itu sebelum ini. Oleh itu, saya merasakan penggunaan perkataan ‘ganyang’ tidak sesuai digunakan untuk tajuk besar sesuatu berita. Bagi saya, tajuk berita yang digunakan Berita Harian agak sukar difahami dan menyukarkan segelintir masyarakat untuk memahami makna sebenar perkataan ganyang itu. Mereka terpaksa membaca keseluruhan teks untuk memahami tajuk berita yang disampaikan oleh Berita Harian. Berbeza dengan tajuk berita yang digunakan MalaysiaKini yang lebih tersurat dan memudahkan pembaca memahami perkara sebenar yang ingin ditonjolkan dalam berita tersebut.
Daripada pengamatan saya, gaya bahasa yang digunakan kedua-dua media ini amat rasional dan bersesuaian dengan laporan berita yang ingin disampaikan kepada pembaca Malaysia. Namun begitu, penggunaan perkataan yang digunakan MalaysiaKini berulang kali berbanding daripada Berita Harian. Sebagai contoh, Penunjuk perasaan di hadapan kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di situ hari ini. Perkataan ‘di’ telah digunakan berulang kali dalam satu ayat. Seharusnya perkataan ‘di’ boleh digantikan dengan perkataan lain atau dibawa ke perenggan lain. Penggunaan perkataan yang berulang kali akan membuat teks berita kelihatan tidak matang dan professional.
Dari segi etika penulisan, saya mendapati kedua-dua media menggunakan etika kewartawanan yang betul. Kedua-dua media tidak membuat laporan berita yang mengikut perasaan mereka semata-mata. Mereka tidak menggunakan ayat-ayat yang berbaur emosi dan menimbulkan api kemarahan terhadap kedua-dua negara. Apabila membaca teks kedua-dua berita ini sehingga habis saya mendapati Berita Harian dan MalaysiaKini menggunakan ayat dan bahasa yang teratur. Melalui pemerhatian saya, kedua-dua media ini masih mengamalkan etika kewartawanan dalam penulisan mereka.

Kesimpulan
Pada pendapat saya, Berita Harian seharusnya mencontohi MalaysiaKini yang lebih telus penulisannya. MalaysiaKini menggunakan prinsip kebebasan bersuara dalam menyampaikan sesuatu berita. Melalui isu pergolakan hubungan baik antara negara kita tercinta dengan negara seberang, Indonesia perlu ditulis dengan lebih jelas dan tepat. Masyarakat perlu mengetahui kedudukan sebenar yang berlaku antara kedua-dua negara ini. MalaysiaKini berjaya melaporkan beritanya lebih berkesan daripada Berita Harian.
Seperti yang kita maklum, negara kita turut dibanjiri dengan rakyat Indonesia yang bekerja di sini. Penghasilan berita yang jelas dan tidak menimbulkan api kemarahan terhadap kedua-dua negara sangat penting dalam menghasilkan berita yang berkualiti. Ini kerana, penulisan yang berbaur emosi boleh menimbulkan pergaduhan dan kemarahan terhadap kedua-dua negara. Melalui pemerhatian saya, Berita Harian dan MalaysiaKini telah mengamalkan etika penulisan yang betul dalam melaporkan berita. Keseluruhan teks yang digunakan oleh kedua-dua media bersifat rasional dan tidak berunsurkan ‘batu api’ terhadap kedua-dua negara.
Selain itu, perkataan ayat seharusnya tidak digunakan berulang kali dalam sesuatu teks berita. MalaysiaKini seharusnya bijak menggunakan perkataan yang bersesuaian dengan teks berita tanpa menggunakan perkataan tersebut banyak kali dalam satu perenggan. Penggunaan perkataan yang berulang kali boleh menyebabkan teks berita kelihatan serabut dan menyukarkan pembaca untuk memahami teks berita yang ingin disampaikan.
Melalui pengamatan saya, Berita Harian dan MalaysiaKini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Berita Harian mungkin kurangnya dari segi keterbukaan mereka dalam menyampaikan berita berbanding dengan MalaysiaKini yang lebih telus penyampaiannya. MalaysiaKini juga mempunyai kekurangannya iaitu tidak mampu menghasilkan teks ayat yang lebih matang daripada Berita Harian. MalaysiaKini seharusnya mencontohi Berita Harian yang lebih lama dalam bidang ini. Jika MalaysiaKini menyemak dan mencontohi serba sedikit corak penulisan Berita Harian, kemungkinan besar MalaysiaKini boleh memperbaiki beberapa kelemahan yang ada dalam berita mereka.