Jumaat, 19 November 2010

Bahasa Melayu kebanggaan kita

Hati saya benar-benar tertarik dengan kenyataan yang telah diutarakan oleh Ridhuan Tee, seorang tokoh yang terkenal di negara kita dengan kepetahan dan kebijaksanaannya berhujah di depan khalayak ramai.

Di sini, saya ingin memetik beberapa potong ayat yang telah dilontarkan oleh Ridhuan Tee mengenai kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara:

"Hari ini saya amat jarang mendengar, ahli korporat dan kadangkala ahli politik kita menggunakan bahasa Melayu bila berbicara atau ditanya oleh wartawan. Lebih menjengkelkan lagi ada wartawan yang bertanya dalam bahasa Melayu dijawab selamba sahaja dalam bahasa Inggeris.

Kita seolah-olah hendak menunjukkan kehebatan kita bahawa dengan berbahasa Inggeris, biar nampak bagus. Sebenarnya kita tidak sehebat manapun. Kita tidak akan ke mana-mana dengan hanya berbahasa Inggeris, jika perangai atau sikap tidak berubah. Lagipun bahasa Inggeris bukannya penentu kejayaan seseorang dunia, apatah lagi di akhirat. Allah tidak akan tanya, apakah kita pandai berbahasa Inggeris atau tidak? Apalah ertinya jika kita cair dengan bahasa Inggeris tetapi gagap bila membaca al-Quran, apatah lagi untuk memahaminya. Paling baik kita menguasai kedua-duanya atau lebih dari itu. Tetapi janganlah terlebih bahasa Inggeris sehingga identiti sendiri hilang entah ke mana. Bahasa Inggeris penting sebagai bahasa kemajuan, tetapi janganlah pula beranggapan dengan berbahasa Inggeris sahaja kita boleh maju. Sekadar menguasai bahasa Melayu kita tidak ke mana-mana.

Kenapa kita tidak bertindak seperti presiden Iran? Ke mana sahaja beliau pergi, bahasa Iran yang dijajanya, walaupun beliau fasih berbahasa Inggeris. Beliau amat arif mempamerkan kehebatan bangsanya dengan meletakkan ia di tempat yang betul. Bila mana beliau berucap dalam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam bahasa Iran, orang lain kelam kabut untuk menterjemahkannya. Mereka terlalu ingin tahu apa yang akan disampaikan oleh Mahmoud Ahmadinejad. Kenapa perkara ini berlaku? Jawapannya, Mahmoud Ahmadinejad telah berjaya meletakkan satu tanda aras atau standard pada diri dan bangsa serta bahasanya, sehingga barat terpaksa mempelajari bahasa Iran. Inilah standard yang perlu kita tonjolkan dalam budaya sendiri," kata-kata Ridhuan Tee yang cukup memberikan kesedaran kepada saya bahawa betapa pentingnya perasaan mencintai bahasa ibunda kita sendiri. Siapa lagi yang mahu menyanjung bahasa jiwa bangsa kita jikalau bukan diri kita sendiri.

Saya bersetuju dengan pendapat beliau, anak-anak muda zaman sekarang lebih bangga jika mereka berjaya menguasai Bahasa Inggeris berbanding bahasa rasmi mereka iaitu Bahasa Melayu. Mereka langsung tidak kisah jika Bahasa Melayu mereka tunggang terbalik macam kapal pecah. Ya, Bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa tapi tahukah kita sebelum ini, bahasa kita sendiri iaitu Bahasa Melayu pernah menjadi lingua fraca pada era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.Tidak banggakah kita menjadi rakyat Malaysia? Kita jauh lebih baik daripada orang-orang Barat di sana. Kita mempunyai segala-galanya yang jauh lebih baik daripada mereka. Kita mempunyai sejarah negara yang menjadi kebanggaan kita dan tidak akan luput sepanjang zaman. Kita mempunyai budaya dan seni yang tersendiri yang sama sekali tidak mampu dibeli dan dimiliki oleh orang-orang Barat. Tapi kenapa budaya Inggeris dan bahasa mereka menjadi pilihan kita? Tepuk dada tanya selera. Jawapannya jelas terbentang di hadapan kita. Anak-anak Melayu kurangnya semangat patrotisme. Mereka lebih megah dengan budaya luar daripada budaya dan pusaka yang dibawa oleh nenek moyang mereka sejak turun temurun. Betapa sukarnya pahlawan-pahlawan negara mempertahankan Tanah Melayu daripada dijajah oleh British, Jepun, Siam, Portugis dan Belanda tapi akhirnya perjuangan mereka telah dipersiakan. Anak-anak muda zaman sekarang semakin ramai yang telah dijajah dengan budaya luar. Minum arak, berpakaian seksi, melakukan perkara-perkara yang sama sekali jauh terpesong dengan adat dan budaya masyarakat Melayu merupakan perkara biasa. bukan itu sahaja, perlakuan mereka itu bukan sahaja ditegah oleh budaya kita tetapi agama Islam sendiri melarang perbuatan-perbutan terlaknat itu dilakukan kerana ianya melambangkan betapa jahilnya diri kita. Ini lah anak Melayu yang tidak mempunyai jati diri yang tinggi. Mudah hanyut dengan keseronokan dunia yang sementara. Faktor-faktor ini telah menyebabkan Malaysia masih lagi di takuk yang lama. Semoga suatu hari nanti kita sedar betapa pentingnya semangat patriotik disemat dalam diri kita.Renung-renungkan dan selamat beramal.