Isnin, 18 Julai 2011

Program Memperkasa Nilai Kemanusiaan

Hidup ini merupakan suatu percaturan antara hidup dan mati. Setiap manusia telah diamanahkan oleh Allah untuk mengemudi kehidupan mereka dengan cara dan kaedah yang tersendiri. Namun begitu, pengalaman merupakan guru terbaik yang dapat mengajar seseorang erti sebenar kehidupan. Melalui pengalaman, kita dapat meneroka kehidupan baru dari satu halaman ke halaman yang lain. Ia juga mendidik kita untuk menjadi manusia yang berani menghadapi segala duri ranjau yang sentiasa terbentang luas di depan mata. Tanpa pengalaman, kita pasti akan melakukan kesilapan yang sama berulang kali. Oleh itu, untuk menjadi seorang manusia yang berjaya di dunia mahupun di akhirat, kita seharusnya mengutip seberapa banyak pengalaman untuk dijadikan pedoman hidup. Alhamdulilah, selama 22 tahun hidup, akhirnya saya dapat merasai satu pengalaman yang cukup berharga iaitu pengalaman bersama warga emas di rumah kebajikan orang tua. Pengalaman ini sukar untuk diluah dengan kata-kata dan tidak mudah untuk dicoretkan di atas kertas. Tapi yang pasti, pengalaman bersama warga emas ini banyak mempengaruhi kehidupan saya pada hari ini. Saya mulai semakin bijak melewati kehidupan saya dengan sebaik-baiknya. Saya tidak mahu nasib kedua-dua ibu bapa saya terjadi sama seperti penghuni rumah kebajikan ini. Saya tidak dapat membayangkan keadaan kedua-dua ibu bapa saya jika suatu hari nanti mereka terpaksa melewati sisa-sisa kehidupan mereka di rumah orang tua. Mereka telah banyak berkorban harta dan nyawa untuk membesarkan saya dan 5 orang adik-adik saya maka tidak adil jika saya membuang mereka ke rumah orang tua.Biarlah pengalaman di rumah kebajikan Hasanah di Branang ini menjadi pedoman dalam kehidupan saya untuk sentiasa menghargai segala pengorbanan kedua-dua ibu bapa saya yang telah banyak berjasa kepada saya tanpa berkira tenaga dan wang ringgit.
Setibanya saya di rumah kebajikan tersebut, hati saya benar-benar tersentuh apabila melihat kesemua warga rumah kebajikan tersebut berkumpul menyambut kedatangan kami seramai 50 orang ini. Walaupun tidak mengenali mereka secara dekat tapi hati saya sudah mula terpaut dengan kemesraan yang telah mereka berikan. Pengurus rumah kebajikan tersebut, Encik Mohaideen begitu bersemangat sekali menerangkan sejarah hidup rumah kebajikan ini di samping memperkenalkan kepada kami setiap penghuni di rumah ini. Saya begitu kagum dengan kesungguhan dan keprihatinan beliau yang berusaha untuk membangunkan rumah kebajikan tersebut bagi keselesaan penghuni rumah kebajikan tersebut yang terdiri dalam lebih kurang 15 orang. Melalui ucapan beliau, ianya jelas menunjukkan bahawa beliau mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi. Beliau turut menceritakan kepada kami serba sedikit sejarah hidup seorang warga emas yang telah menyahut panggilan Illahi seminggu sebelum kami melangkah masuk ke rumah kebajikan tersebut. Air mata saya mengalir deras apabila melihat salah seorang penghuni rumah kebajikan ini, Atuk Hashim begitu ceria dan bersungguh-sungguh melayan kami. Mungkin kedatangan kami di sini, membawa satu sinar baru dalam hidupnya. Dengan kehadiran kami ini, mungkin sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduannya terhadap anak-anaknya. Beliau juga seolah-olah tabah menerima setiap qada’ dan qadar yang diciptakan Allah kepada dirinya. Saya pasti disebalik keriangannya itu, pasti terselit satu perasaan sedih dan rindu terhadap anak-anaknya yang pernah ditatang bagai minyak yang penuh selama ini. Melihat ketabahan Atuk Hashim, saya semakin bersemangat untuk mengenali kesemua penghuni di rumah kebajikan ini.
Sebelum saya melangkah masuk ke dalam dapur, saya sempat menyedekahkan Al-Fatihah kepada semua penghuni rumah kebajikan tersebut yang telah selamat mengadap Allah S.W.T. Sekali lagi, hati saya tersentuh apabila mendengar suara Atuk Hashim menghadiahkan Al-Fatihah kepada rakan-rakannya dengan suaranya yang tersedu-sedu. Mungkin beliau berasa kehilangan seorang sahabat sebagai tempat untuk mengadu masalah dan bergurau senda. Jika saya berada di tempat Atuk Hashim, saya juga pasti akan berasa sedih seperti dirinya. Bayangkan orang yang paling rapat di sisi kita pergi tanpa sebarang pesanan. Sudah tentu sukar untuk kita menerima kenyataan. ‘Setiap yang hidup pasti akan pergi’, saya yakin kata-kata inilah yang sentiasa diucapkan Atuk Hashim setiap kali beliau teringat kepada rakan-rakannya yang telah meninggalkan dirinya di sini. Encik Mohaideen juga sempat berseloroh dengan Atuk Hashim bagi mengurangkan kesedihan di hati orang tua ini. “Pakcik Hashim suka duduk sini. Dia nak cari isteri baru dekat sini. Nanti boleh lah kita cari seorang perempuan cantik untuk Pakcik Hashim ye,” kata Encik Mohaideen dengan nada bergurau. Atuk Hashim kembali ceria apabila mendengar guraun Encik Mohaideen itu. Suasana yang pilu sebelum ini kembali ceria dengan gelak tawa Atuk Hashim yang memecah kesunyian.
Tugasan saya sebagai biro makanan harus digalas dengan sebaik-baiknya. Walaupun saya tidak gemar dengan tugasan itu tapi amanah yang telah diberikan menyebabkan saya begitu komited dengan tugasan tersebut. Perkara pertama yang saya lakukan ialah membuat air sirap limau untuk disediakan kepada penghuni rumah kebajikan tersebut. Inilah kali pertama, saya ditugaskan untuk membuat air untuk orang yang lebih daripada 50 orang. Hanya Tuhan sahaja tahu betapa kelam kabutnya saya semasa menyediakan air sirap limau itu. Saya terpaksa mengangkat periuk besar yang berisi air panas untuk dituang ke dalam satu bekas minuman. Beratnya hanya Allah sahaja yang tahu. Namun begitu, ianya tidak mematahkan semangat saya. Saya semakin teruja kerana dapat melakukan perkara yang baru dalam hidup saya. Ahirnya saya sudah keluar daripada kepompong saya selama ini. Saya berjaya membuat air sirap limau tersebut walaupun rasanya kurang manis. Salah seorang pekerja di rumah kebajikan tersebut telah menyatakan bahawa air yang saya sediakan itu tidak menjadi atau dengan erti kata lain tidak sedap. Saya menerima kritikannya dengan baik. Bagi saya, setiap suatu perkara yang kita lakukan, perlu mempunyai kutukan yang membina bagi memperbaiki diri kita menjadi seorang yang lebih dari hari ke hari.
Bermulanya tugasan saya untuk berkhidmat di dapur. Nasib baik pensyarah saya yang menggelarkan dirinya mama dengan rela hati ingin memasak untuk kami semua. Beliau telah mengajar banyak perkara kepada saya pada hari tersebut. Saya begitu kagum dengan kebolehan dan kemahiran mama. Beliau bukan sahaja bijak mengajar kami erti sebenar kehidupan melalui pengajaran subjek ‘Communication and Change’ tetapi beliau mahir memasak pelbagai masakan yang enak terutama masakan Melayu. Mama telah mengajar kami memasak Ayam lauk kicap melalui cara orang Jawa. Kebiasaannya kita akan menumis bawang terlebih dahulu tetapi kali ini semua bahan dimasukkan sekaligus. Ya, ianya begitu menakjubkan. Itulah antara perkara baru yang saya pelajari sepanjang berada di rumah kebajikan tersebut. Makanan yang paling menarik perhatian saya ialah sambal sunda. Saya gembira sekali kerana dapat bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain untuk belajar memasak masakan Melayu yang semakin dilupakan. Selepas ini, bolehlah saya mencuba masakan ini dan sudah tentu orang pertama yang akan merasa masakan saya ialah kedua-dua ibu bapa saya. Suatu perkara yang tidak boleh saya lupakan sepanjang berada di dapur ialah kenangan ditengking oleh rakan bertugas saya. Saya terkejut dengan tindakannya tapi saya cuba untuk berfikir positif. Mungkin bercakap kasar merupakan salah satu caranya untuk rapat dengan orang lain. Melalui pengalaman itu, saya mulai semakin memahami tindak-tanduk orang. Tidak semua orang dilahirkan penuh dengan sifat lemah lembut dan penuh dengan tatasusila. Setiap manusia banyak ragamnya. Namun begitu, sikap seseorang yang kasar tidak bermaksud dia tidak mempunyai hati yang baik. Bermula daripada episod itu, saya sudah mula semakin rapat dengannya. Terima kasih pengalaman kerana memperkenalkan saya dengan rakan-rakan baru saya.
Selepas selesai memasak, saya telah mengambil kesempatan untuk mendekati salah seorang warga emas. Insan yang berjaya mencuri hati saya ialah Atuk Ismail. Saya dan sekelas saya, Ima sempat beramah mesra dengan Atuk Ismail. Atuk Ismail hidup sebatang kara di Malaysia. Beliau yang berasal dari Indonesia pernah menetap di Segamat, Johor. Sepanjang menjalani kehidupan di Malaysia, beliau banyak mengutip pengalaman berharga untuk dijadikan pedoman dan pengajaran dalam kehidupan sehariannya. Beliau tidak memilih kerja. Beliau cuba bekerja pelbagai jenis pekerjaan. Antaranya menjadi seorang penyapu sampah. Baginya, tidak salah bekerja apa sahaja pekerjaan asalkan halal dan mampu untuk menyara kehidupannya. Semangat yang ditonjolkan Atuk Ismail benar-benar mengagumkan. Beliau tidak pernah takut dan malu untuk melakukan sesuatu perkara yang baik dan tidak menyalahi syariat agama. Sesetengah orang pasti malu untuk bekerja sebagai penyapu sampah kerana pekerjaan itu tidak mendatangkan gaji yang lumayan. Tetapi berbeza bagi Atuk Ismail, beliau gembira kerana dapat melakukan pekerjaan sedemikian rupa kerana melalui pekerjaan tersebut beliau dapat menemui pelbagai ragam manusia. Mulai saat itu juga, beliau semakin menghargai setiap orang di muka bumi tanpa mengira pangkat atau usia.
Seorang lagi insan yang berjaya saya selami hatinya ialah Encik Latiff. Beliau berusia dalam lingkungan 35 tahun. Beliau diciptakan Allah untuk melalui pelbagai rintangan dan dugaan yang tidak semua manusia mampu menghadapinya. Beliau pernah menjadi seorang samseng yang berpengaruh besar. Setiap kali pemiutang tidak dapat melunaskan bayaran hutang mereka, beliau akan memukul mereka secukup-cukupnya sehingga ada beberapa orang yang maut akibat tindakannya itu. Disebabkan sikapnya yang tidak berperikemanusiaan, kedua-dua isterinya telah membuat keputusan untuk meninggalkannya. Kasih sayangnya terhadap kedua-dua isterinya seperti cinta Syah Jihan kepada Mumtaznya menyebabkan beliau hampir membunuh diri kerana tidak dapat menerima hakikat ditinggalkan isteri-isterinya. Namun begitu, perancangan Allah begitu hebat sekali. Allah telah merencanakan kehidupan baru untuk Encik Latiff. Allah telah membuatkan hatinya tertarik dengan kesucian agama Islam. Beliau mulai mencintai agama suci ini dan akhirnya memeluk agama Islam. Kecintaannya terhadap Allah dan agama Islam itu sendiri telah membuatkan beliau semakin tenang melalui kehidupan ini. Pelbagai dugaan diuji kepada dirinya. Beliau menyambut segala ujian dengan tabah dan tenang. Antara ujian yang terpaksa ditempuhinya ialah menghadapi satu kemalangan berulang kali sehingga kakinya tidak mampu berjalan lagi. Setiap apa yang Allah jadikan pasti ada hikmahnya. Saya pasti Allah memberikan dugaan besar kepadanya itu kerana ingin membasuh segala dosa masa silamnya. Allah menyanyangi Encik Latiff dan tidak mahu beliau kembali melakukan dosanya yang lalu. Beliau sempat menunjukkan kepada saya gambar perkahwinannya bersama bekas isterinya yang tercinta. Melalui kaca matanya, saya dapat melihat bahawa beliau mengharap suatu keajaiban berlaku di mana bekas isterinya kembali ke pangkuannya.
Dalam ramai-ramai penghuni, Pakcik Zainal yang paling sukar untuk didekati. Beliau sentiasa bermurung dan seperti tidak menyenangi kehadiran kami di rumah kebajikan tersebut. Secara jujurnya, Pakcik Zainal merupakan insan yang begitu istimewa di hati saya. Saya cukup terkilan kerana tidak dapat mencungkil segala isi hatinya. Sikapnya yang serius menyebabkan saya gentar untuk mendekati dirinya. Pelbagai persoalan bermain di benak saya. Kenapa Pakcik Zainal kelihatan sedih? Adakah Pakcik Zainal rindukan anak-anaknya? Kenapa beliau terpaksa berada di sini? Saya cuba mengorek rahsia kehidupannya daripada salah seorang insan yang bertanggungjawab mengendalikan rumah kebajikan itu yang digelar mama. Mama sendiri tidak dapat merungkai segala persoalan yang bermain di fikiran saya. Daripada satu sumber yang boleh dipercayai, Pakcik Zainal mempunyai dua orang isteri dan mempunyai beberapa orang anak. Beliau diambil daripada hospital dan dihantar di sini bagi menjalani sisa-sisa hidupnya di rumah kebajikan ini bersama-sama raka-rakan sperjuangannya lain. Beliau juga bukan calang-calang orang. Beliau pernah menjawat jawatan yang tinggi di sebuah syarikat swasta. Walaubagaimanapun, nasibnya tidak baik kerana terpaksa menjalani sisa-sisa kehidupannya di sini. Setiap perkara harus dipandang positif. Mungkin, Allah menyanyangi Pakcik Zainal. Allah ingin menguji kesabarannya sama ada beliau mampu menerima takdir Allah dengan sebaik-baiknya atau menyalahkan Allah kerana menjadikan hidupnya sebegini. Mungkin juga Allah ingin mengampunkan dosa-dosanya yang lalu. Berkemungkinan besar, Pakcik Zainal pernah mengguris hati keluarganya sehingga keluarga berkecil hati dengannya dan tidak mahu menjaganya ketika beliau menginjak usia. Semuanya rahsia Allah. Hanya Allah dan Pakcik Zainal yang mengetahui sejarah kehidupannya itu. Namun begitu, saya benar-benar berharap semoga keluarga Pakcik Zainal menyedari tanggungjwab mereka terhadpa Pakcik Zainal. Sampai bila mereka ingin membiarkan beliau hidup dalam berduka cita. Semoga kebahagiaan menjadi milik Pakcik Zainal dan rakan-rakan seperjuangannya di rumah kebajikan Hasanah. Amiiin.
Suatu perkara lagi yang saya tidak boleh lupa sehingga akhir hayat ialah memori di mana Pakcik Zainal mendekati saya dan bertanya kepada saya mengenai cenderahatinya. Air mata saya hampir jatuh ke bumi apabila Pakcik Zainal mengelap air matanya kerana merasakan bahawa dirinya dilupakan. Saya memujuknya dengan memberitahu cenderahatinya disimpan bersama pekerja rumah kebajikan tersebut. Salah seorang pekerja rumah kebajikan tersebut menenangkannya dengan menyuruhnya bersabar. Daripada situ, saya mula merapatkan diri saya dengannya. Saya mengajaknya bergambar bersama-sama kami dan penghuni rumah kebajikan yang lain. Beliau pada mulanya ralat untuk mengikuti pelawaan saya tapi selepas dipujuk sekali lagi akhirnya beliau mengikuti ajakan saya. Terima Kasih Pakcik Zainal. Saya berasa sangat gembira pada waktu itu. Saya berasa cukup dihargai apabila beliau turut sama bergambar bersama-sama kami. Saya sempat menolak kerusi rodanya sebelum rakan saya, Khai mengambil tempat saya untuk menolak kerusi roda Pakcik Zainal. Jika saya diberi peluang, saya ingin bertemu dengan Pakcik Zainal sekali lagi. Saya ingin mengetahui sejarah kehidupannya dengan lebih mendalam. Sampai sekarang saya msih terbayang-bayang wajah Pakcik Zainal yang serius dan murung. Jika diberi kesempatan saya ingin memberitahunya bahawa saya tertarik dengannya dan saya ingin mengenalinya dengan lebih mendalam.
Benarlah kata orang dahulu, pengalaman mematangkan seseorang itu. Saya berterima kasih kepada Allah kerana member peluang kepada saya untuk merasai pengalaman berharga di bumi Hasanah, Branang. Melalui pengalaman di rumah kebajikan ini, saya mula belajar untuk menghargai kedua-dua ibu bapa saya. Walaupun kedua-dua ibu bapa saya selalu sibuk dengan kerjaya mereka masing-masing tapi saya mengetahui di sudit hati mereka, mereka sangat sayangkan kami adik beradik. Mereka bekerja keras semata-mata untuk membahagiakan kami. Mereka tidak mahu kami hidup susah seperti yang pernah mereka lalui sebelum ini. Bagi saya, tiada kasih manusia lain seagungnya kasih kedua-dua ibu bapa yang membesarkan kita dari kecil hingga kita dewasa. “Mama dan babah, Shera sayang sangat mama. Sayang sangat babah. Walaupun mama dan babah jarang berada di rumah, kasih sayang Shera tidak pernah luntur sama sekali. Semoga suatu hari nanti Shera dapat membalas segala jasa dan pengorbanan mama serta babah. Shera nak jaga mama dan babah ketika mama dan babah menginjak usia,” kata-kata ini akan saya luahkan kepada kedua-dua ibu bapa saya. Semoga Allah menjadikan saya seorang anak yang solehah dan mampu membahagiakan kedua-dua ibu bapa saya sama sperti mereka menggembirakan saya sebelum ini. Terima kasih Allah kerana memberikan saya bernafas untuk merasai pengalaman bermakna ini. Terima kasih mama kerana merealisasikan impian saya untuk mengikuti program ini. Terima kasih rakan-rakan kerana bersama-sama berkongsi pengalaman di rumah kebajikan Hasanah. Tidak lupa juga, jutaan terima kasih kepada penghuni-penghuni rumah kebajikan Hasanah yang sanggup berkongsi pengalaman hidup mereka untuk menjadi tatapan kepada saya pada masa akan datang kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan