Jumaat, 20 Mei 2011

Program ke Bendang

Program Jom ke Bendang dan Anak Angkat
19 Mac 2011
19 Mac 2011 merupakan tarikh keramat yang tidak mungkin dapat saya lupakan sepanjang kehidupan saya. Pengalaman yang cukup indah tertulis dalam kamus hidup saya apabila buat pertama kalinya saya dapat menjejakkan kaki di sebuah perkampungan yang indah dan permai dengan kehijauan sawah yang terbentang luas. Seawal jam 6.00 pagi, jam di telefon bimbit saya telah berdering untuk mengejutkan saya daripada lamunan tidur. Dengan semangat yang berkobar-kobar saya terus mencapai tuala dan menuju ke bilik air. Nasib baik, beg pakaian sudah dikemaskan sehari sebelum hari yang dinantikan. Pada malam sebelumnya, ibu saya telah melawat saya di Kolej Melati. Almaklumlah setiap minggu, saya akan pulang ke rumah tapi pada minggu ini, saya berkorban hari minggu saya bersama keluarga semata-mata untuk mengutip satu pengalaman yang berharga di kampung Sawah Sempadan. Saya begitu optimis yang saya pasti akan merasai satu pengalaman baru yang cukup luar biasa dan mampu membuatkan saya tersenyum selepas pulang dari kampung tersebut.
Sepanjang perjalanan ke kampung Sawah Sempadan, fikiran saya berputar-putar. Pelbagai andaian dan imaginasi terbayang di benak fikiran saya. Saya tidak sabar untuk melihat sendiri dengan mata kasar saya, keadaan dan suasana di kampung Sawah Sempadan yang seringkali menjadi lokasi pilihan pengarah-pengarah filem tempatan. Bagi mengurangkan perasaan bosan, saya dan Amalia mengambil kesempatan untuk berbual bersama-sama. Pada masa inilah, kami dapat mencuri masa untuk mengeratkan kembali hubungan kami yang semakin renggang disebabkan kesibukan masing-masing. Alhamdulilah, program ini telah berjaya menyatukan hati kami kembali. Sekurang-kurangnya dapatlah saya melepaskan rindu terhadap sahabat baik saya ini. Kami begitu rancak sekali berbual sehingga tidak menghiraukan orang di sekeliling kami yang memerhatikan tindak-tanduk kami. Selama hampir dua jam kami berada dalam bas, akhirnya kami tiba ke destinasi yang dinantikan.
Setibanya sahaja di sana, saya kaget dan terpukau melihat kehijauan sawah padi yang terbentang luas di hadapan mata saya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa kagumnya saya melihat pemandangan yang indah, tenang dan permai itu. Tiada kata yang dapat diluahkan hanya kesyukuran yang dapat dipanjatkan sepanjang melihat kebesaran Allah S.W.T ini. Hati saya benar-benar berasa tenang ketika berada di sana dan segala masalah yang bersarang di benak otak saya sebelum ini hilang begitu sahaja. Benarlah kata orang, warna hijau mampu menenangkan jiwa dan warna itu mampu melenyapkan segala masalah yang berkecamuk dalam diri seseorang.
Selepas turun sahaja dari perut bas, saya dan rakan-rakan terus menangkap gambar bersama-sama. Kami tidak mahu melepaskan peluang untuk menangkap gambar sebanyak yang mungkin bagi mengabdikan kenangan di bumi Sawah Sempadan. Bukannya mudah bagi kami untuk merasai suasana sedemikian rupa. Kebanyakan kami termasuklah diri saya datang dari Kuala Lumpur yang sering kali terdedah dengan pencemaran bunyi dan udara. Apabila pertama kali melihat suasana kampung yang penuh dengan sawah dan bendang, saya seperti tidak mampu mengawal perasaan saya. Ikutkan hati, mahu sahaja sehari suntuk saya berlari-lari di sekeliling bendang itu. Tapi apakan daya, saya berada di tempat orang maka saya perlu mematuhi segala peraturan dan pantang larang yang ditetapkan oleh penduduk di sini. Mengikut pepatah Melayu, ‘Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.’
Sebelum kami diperkenalkan kepada ibu bapa angkat kami, kami diminta untuk bersama-sama berkumpul di dalam dewan. Ahli jawatankuasa tertinggi dan pensyarah kami yang dipanggil mama memberikan sedikit taklimat kepada kami sepanjang berada di kampung Sawah Sempadan itu. Tanpa mengambil masa yang lama, mama terus membahagikan setiap ahli kumpulan kepada keluarga angkat masing-masing. Mama seperti mengetahui yang hati kami sudah meronta-ronta untuk bersemuka dan bertentang mata dengan keluarga angkat kami. Saya, Amalia, Hamizah, Hajar dan Baizura dibahagikan di dalam kumpulan anak angkat ke-8 dan kami cukup bertuah kerana memperolehi Mak cik Siti Hawiyah dan Encik Abu Hassan sebagai ibu bapa angkat kami. Sebelum kami melangkah pergi ke rumah keluarga angkat kami, kami sempat merakam gambar kenangan sebagai bukti kami diserahkan kepada keluarga angkat kami untuk selama dua hari.
Kami bersalam-salaman dengan ibu angkat kami. Hati saya berkata-kata bahawa ibu angkat saya ini pasti orangnya penuh dengan naluri keibuan. Melihat caranya melayan kami, saya dapat merasakan bahawa beliau benar-benar ikhlas menerima kami menjadi sebahagian hidup mereka dalam tempoh dua hari ini. Hujan turun dengan lebat pada hari ini sepeti membawa makna rahmat yang besar kerana banyak hati-hati yang telah disatukan pada hari ini. Disebabkan hujan yang lebat, kami dan ibu angkat kami terpaksa menunggu ayah angkat kami selama hampir 30 minit. Sepanjang penantian itu, saya sempat menemu ramah ibu angkat kami mengenai kehidupannya. Saya cuba menyelongkar kisah hidupnya dengen lebih mendalam. Makcik Hawiyah tanpa segan dan silu sanggup berkongsi pengalamannya kepada kami.
Menurut cerita ibu angkat kami, beliau mempunyai enam orang anak yang terdiri daripada dua orang perempuan dan empat orang lelaki. Beliau berasa sungguh bertuah kerana umurnya yang sudah menginjak 40 tahun telah diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk memiliki seorang cahaya mata yang comel. Itulah kebesaran Allah. Jika itu kehendakNya maka terjadilah segala-galaNya. Selepas puas mengupas serba sedikit kehidupan ibu angkat kami, akhirnya ayah angkat kami tiba dengan kereta proton saganya bersama dengan anak sulung dan anak bongsunya. Disebabkan kereta yang kecil, ayah angkat kami terpaksa berulang alik untuk mengambil kami. Dari situ, saya sudah dapat melihat betapa besarnya pengorbanan ayah angkat kami. Walaupun rumah mereka dengan dewan tidaklah sejauh mana tapi beliau tetap ingin mengambil kami. Dengan alasannya kerana tidak mahu kami berasa penat berjalan kaki ke rumah mereka. Terima kasih pakcik Hassan kerana sanggup melayan kami dengan baik. Jasamu akan dikenang sehingga ke akhir hayat kami.
Bermulalah kehidupan kami di rumah Pakcik Hassan dan Makcik Hawiyah. Setiba sahaja di rumah agam mereka yang separuh diperbuat daripada papan dan batu, kami terus meletakkan barang-barang kami di sebuah bilik kosong yang telah ditunjukkan oleh kakak angkat kami, kak Baiti. Selesai sahaja meletakkan barang-barang di bilik, kami terus menuju ke dapur. Amalia, Hajar dan Hamizah membantu ibu angkat kami menyiang ayam. Manakala saya dan Baizura sibuk melayan Qoid yang masih mahukan belaian manja daripada kami. Saya sungguh kagum melihat Qoid, walaupun dia baru berumur empat tahun tetapi dia sudah bijak mengeja dan membaca buku. Mungkin abang dan kakaknya rajin mengajarnya sehingga pada usia yang masih muda itu, dia sudah mampu membaca dengan lancarnya.
Kak Baiti menunjukkan kepada kami kehandalannya dalam memasak. Dia memasakkan kami ayam goreng, kuah rojak, sambal belacan dan lain-lain. Selepas Kak Baiti selesai memasak, kami bersama-sama membantunya menghidangkan makanan. Makanan-makanan yang dimasak dihidangkan mengikut cara dan tradisi orang kampung. Kami bersama-sama makan secara bersimpuh. Bagi saya, pengalaman makan secara bersimpuh bersama-sama dengan adik beradik angkat saya, Ibat, Sukri, Kak Baiti, Qoid, Badrul dan ibu bapa angkat kami merupakan pengalaman yang cukup bermakna dalam hidup saya. Pada waktu makan tengah hari itulah, kami mulai mengenal hati budi masing-masing dengan secara lebih dekat. Hubungan di antara mereka sekeluarga sangat rapat. Keakraban mereka jelas terpancar melalui tingkah laku mereka. Suatu perkara yang luar biasa dan mengejutkan kami ialah mereka adik beradik memanggil kedua-dua ibu bapa mereka dengan bahasa agak kasar daripada pengamatan kita iaitu ‘aku dan engkau’. Tapi pada hakikatnya, panggilan tersebut mempamerkan keakraban hubungan mereka.Pada mulanya, kami agak terkejut kerana bagi kami panggilan sedemikian rupa agak kasar untuk diluahkan kepada orang yang lebih tua daripada kita. Namun begitu, setelah melihat kemesraan mereka, barulah kami sedar, cara mereka menonjolkan kasih sayang mereka terhadap kedua-dua ibu bapa mereka agak berbeza dengan kami. Bagi mereka, cara ini lebih merapatkan hubungan mereka dan boleh membuatkan mereka lebih tebuka untuk meluahkan segala isi hati mereka kepada orang yang mereka sayangi.
Selesai sahaja makan tengah hari, ibu angkat kami menyuruh kami untuk berehat di ruang tamu. Mengikut rutin harian keluarga angkat kami, pada waktu tengah hari adalah waktu untuk mereka beristirehat. Mereka akan mengambil masa lebih kurang satu jam untuk melelapkan mata. Disebabkan keluarga angkat kami tidur maka kami pun mengikut jejak langkah mereka untuk tidur sebentar sementara menunggu pukul 5 petang. Sebelum tidur, saya dan rakan-rakan telah menunaikan tanggungjawab kami sebagai orang Islam iaitu menunaikan solat Zohor. Selesai sahaja menunaikan solat, kami menukar pakaian kami kepada pakaian yang sesuai untuk dibuat tidur. Kain batik menjadi pilihan kami ketika berada di kampung tersebut. Ini kerana kain tersebut bukan sahaja kelihatan sopan apabila dipakai malah ianya memberikan keselesaan kepada si pemakai. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup dengan tenangnya amat melenakan saya. Saya tidur dengan lenanya sambil dibuai mimpi-mimpi yang indah. Betapa seronoknya jika setiap hari, saya boleh merasai kehidupan sebegini. Tapi sayang, apabila pulang kembali ke Shah Alam, saya terpaksa mengadap tugasan-tugasan yang bertimbun. “ Shera, jangan fikirkan kerja-kerja di Shah Alam. Sekarang masa untuk menikmati kehidupan yang indah dan permai di kampung Sawah Sempadan,’ aku bermonolog apabila gambaran tugasan terbayang di mindaku.
Tepat pukul 4.30 petang, kami berlima bersiap-siap untuk pergi ke dewan yang dijanjikan. Seperti biasa, tanggungjawab sebagai hamba Allah harus digalas dengan sebaik-baiknya. Walaupun sibuk, sebagai umat Islam kita seharusnya mengimbangi kehidupan di dunia mahupun bekalan di akhirat nanti. Apabila azan Asar berkumandang, kami terus menunaikan solat. Selesai sahaja menunaikan solat Asar, Kak Baiti sudah menunggu kami di kereta untuk menghantar kami ke tempat yang dituju. Sebenarnya, kami ingin berjalan kaki ke sana sambil menikmati udara kampung yang segar tapi dilarang sekerasnya oleh Makcik Hawiyah. Beliau tidak mahu kami keletihan berjalan kaki dan beliau telah menggesa Kak Baiti untuk menghantar kami ke sana.
Setibanya sahaja di tempat yang dijanjikan, masih ramai lagi yang belum sampai. Biasalah orang Melayu, janji pukul 5 petang, pukul 6 baru kelihatan kelibat mereka. Jika orang Melayu mahu berjaya, mereka harus mengubah dahulu diri mereka menjadi orang yang lebih berdisiplin. Sementara menunggu rakan-rakan yang lain, kami berlima mengambil kesempatan untuk merayau-rayau di sekitar kawasan dewan tersebut. Kami berjalan di titian bendang tersebut sambil merakam gambar kenangan bersama-sama. Pelbagai benda baru yang dapat kami terokai sepanjang perjalanan kami di titian bendang tersebut. Pertama sekali, kami dapat melihat padi angin secara dekat. Itulah kali pertama, saya dapat melihat padi menghijau secara lebih dekat, sebelum ini saya hanya dapat melihatnya di kaca televisyen. Selain itu, saya dapat mengenali bentuk sebenar telur siput.. Pada mulanya, rakan saya, Hamizah mengenakan saya dengan menyatakan bahawa telur yang berwarna merah jambu itu ialah kutu air. Nasib baik, pada keesokan harinya, adik angkat saya, Sukri memberitahu bahawa telur yang berwarna merah jambu itu ialah telur siput bukannya kutu air. Saya hanya mampu gelak apabila diberitahu perkara yang sebenar kerana saya baru menyedari bahawa saya ditipu bulat-bulat oleh Hamizah.
Satu kenangan yang tidak mungkin dapat saya lupakan ialah apabila saya dan rakan-rakan saya telah bersama-sama meneroka beberapa kawasan di kampung Sawah Sempadan. Kami sempat merakam beberapa video kenangan mengenai luahan hati kami selama berada di kampung Sawah Sempadan. Pada waktu itu, kami berlima merasakan seperti dunia ini hanya milik kami berlima sahaja. Sepanjang penerokaan kami, kawasan di sekeliling kampung Sawah Sempadan itu lengang sahaja. Kami bergelak ketawa dengan riang dan girangnya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa bahagianya kami pada waktu tersebut. Semua tugasan yang bertimbun di Shah Alam kami letak ke tepi. Bagi kami, dua hari ini harus dijalani dengan sebaik-baiknya tanpa merosakkan kebahagian kami ini dengan memikirkan tugasan-tugasan yang membebankan. Bukan senang untuk kami merasai pengalaman berharga ini di kampung Sawah Sempadan.
Selepas pulang daripada mendengar taklimat di dewan, kami selamat sampai ke rumah ketika azan maghrib sudah berkumandang di pelosok bumi Sawah Sempadan. Kepulangan kami disambut dengan riangnya oleh Qoid. “Kakak, cepatlah mandi. Kita nak pergi makan dekat luar,” jerit Qoid dengan penuh bersemangat. Apabila mendengar berita gembira itu, kami terus meluru ke bilik untuk mengambil barang-barang mandian. Kak Baiti memberi cadangan kepada kami untuk mandi bersama-sama di bilik mandi yang besar di mana terletak di luar rumah. Kami dikehendaki mencedok air di dalam kolah untuk disiram ke atas badan kami masing-masing. Walaupun air di dalam kolah tersebut sangat sejuk, namun pengalaman baru yang sukar diperolehi oleh orang lain ini cukup membuatkan kami gembira. Melalui pengalaman tersebut, sedikit sebanyak hubungan kami berlima dapat dipereratkan lagi. Selesai sahaja membersihkan diri, kami menyarungkan pakaian ke badan kami masing-masing. Pada malam itu, kami bersama dengan seluruh keluarga angkat kami kecuali Badrul telah menikmati makan malam di sebuah restoran yang pernah menjadi lokasi pilihan untuk filem ‘Ngangkung’. Kami cukup bertuah kerana dapat menjejakkan kaki di restoran tersebut dan masakan di restoran tersebut sangat lazat dan memuaskan hati kami semua.
Kami tiba di ‘Malam Hari Kebudayaan’ agak lewat iaitu pada pukul 9.30 malam kerana ayah angkat kami menyuruh kami bersembahyang Isyak terrlebih dahulu. Katanya, apabila kita bersolat awal, Allah akan memudahkan segala perjalanan hidup kita pada hari itu. Ketika kami sampai, semua orang memandang kami dengan pandangan yang agak pelik. Almaklumlah kami sampai agak lewat dan ianya mendatangkan ketidakpuasan hati di kalangan orang ramai. Kami dengan muka selambanya hanya duduk di kerusi depan yang kosong. Sahabat kami, Anuar sempat mengambil gambar kami sambil memerli kelewatan kami pada malam itu. Kami hanya mampu tersenyum mendengar kata-katanya yang agak menusuk jiwa itu. Kami tidak mengambil serius dengan kata-kata sinisnya itu dan kami menganggap kata-katanya itu hanyalah gurauan semata-mata.
Malam kebudayaan itu yang menggabungkan tiga buah kelas yang dikelokakan oleh mama sangat meriah dan menghiburkan. Setiap kelas diwajibkan untuk membuat persembahan. Seperti biasa, saya hanya menjadi seorang penonton. Melalui pemerhatian saya, kesemua persembahan yang dilakukan dengan baik sekali. Setiap kelas telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menonjolkan bakat masing-masing dalam bidang lakonan, tarian dan nyanyian. Syabas diucapkan kepada semua yang melakukan persembahan pada malam tersebut. Saya dan rakan-rakan sangat teruja pada malam itu. Kebanyakan persembahan yang dilakukan sangat berkesan terutama lakonan yang dilakonkan oleh Zaidi dan Azfa yang cukup mantap dan bertenaga. Lakonan yang dilakonkan oleh mereka kelihatan sepeti bersahaja dan tidak menampakkan bahawa mereka sedang berlakon di atas pentas itu.
Tepat pada pukul 12 malam, persembahan Malam Kebudayaan telah melabuhkan tirai. Ayah angkat kami telah menunggu kami di gerai kepunyaannya untuk membawa kami pulang ke rumah. Pada malam tersebut sangat istimewa bagi saya. Ini kerana, buat pertama kalinya saya dapat merasai tidur di dalam kelambu yang besar. Kelambu yang berbentuk seperti tudung saji itu sangat menarik perhatian saya. Saya juga sangat terharu melihat layanan baik yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapa angkat kami terhadap kami. Mereka sanggup membeli kelambu yang besar tersebut semata-mata tidak mahu nyamuk menggigit-gigit badan kami. Layanan baik yang ditonjolkan oleh mereka memang sukar untuk dipadam dalam ingatan saya ini. Pada malam itu, kami tidur dengan lenanya. Tiada satu gigigitan nyamuk pun yang menghingap di badan saya. Semuanya berkat kelambu yang dipasang oleh keluarga angkat kami. Saya tidak sabar untuk menunggu hari keesokannya. Pasti pelbagai perkara yang menarik akan muncul dalam hidup saya.








20 Mac 2011
Pada pukul 5 pagi, saya sudah terjaga dari lamunan tidur. Tanpa disedari, saya sudah berada di luar kelambu. Nasib baik, saya tidak tidur sampai ke ruang tamu. Selepas itu, saya terus menuju ke bilik air untuk mengambil air sembahyang. Di dapur, saya melihat ibu angkat saya sedang sibuk menyeduk sambal ke bungkusan nasi lemak. Melihat kesungguhannya, hati saya begitu tersentuh. Selalunya, di rumah saya sendiri, pada seawal pagi itu, kami sekeluarga masih diulit mimpi. Berlainan sungguh cara hidup kami dengan keluarga Makcik Hawiyah. Semoga kepulangan saya dari kampung ini, sikap dan cara hidup saya akan berubah menjadi lebih baik. Sebelum mengambil air sembahyang, saya sempat bersembang dengan ibu angkat saya. Melalui perbualan dengannya, beliau menyatakan bahawa selalunya beliau akan bangun seawal pukul 4 pagi tapi pada hari tersebut beliau bangun agak lewat daripada kebiasaannya. Saya sempat meminta izin daripada ibu angkat saya untuk mengikutinya menjual di gerai. Seperti biasa, ibu angkat saya tidak menggalakkan saya mengikutinya. Katanya, dia tidak mahu kami kepenatan dan beliau hanya menyuruh kami tinggal di rumah untuk berehat. Selesai sahaja menunaikan solat, saya terus keluar ke halaman rumah dan sekali lagi memujuk ibu angkat saya untuk mengikutinya ke gerai.
Akhirnya, saya berjaya memujuk beliau untuk membawa saya bagi membantunya menjual di gerai makanannya. Kami pergi ke sana dengan menunggang motosikal. Makcik Hawiyah membelikan saya beberapa jenis kuih-muih untuk sarapan pagi. Setiba sahaja di sana, kelibat ayah angkat saya sudah kelihatan. Ayah angkat saya begitu sibuk sekali mengguli tepung untuk dibuat roti canai. Dia menyambut kedatangan saya dengan senyuman yang terukir di bibirnya. Saya agak kekok berada di gerai tersebut kerana rata-rata pelanggan ibu bapa angkat saya terdiri daripada golongan lelaki berumur dalam lingkungan 40 tahun ke atas. Bagi mengurangkan perasaan malu dalam diri saya, saya terus meluru ke belakang gerai tersebut. Terdapat beberapa buah pinggan mangkuk di sinki yang masih belum berbasuh. Tanpa membuang masa, saya terus membasuh pinggan mangkuk tersebut. Semasa membasuh pinggan tiba-tiba hati saya tersentuh. Air mata saya hampir jatuh ke bumi. Bayangan wajah-wajah keluarga saya di rumah berlegar-legar di minda saya. Saya terfikir sejenak betapa jarangnya saya membantu ibu saya mengemas, memasak dan membasuh baju serta pinggan mangkuk di rumah. Tapi pada waktu itu saya telah mempunyai satu kekuatan yang luar biasa. Saya berazam bahawa sekembalinya saya di rumah, saya akan memastikan yang saya akan membantu ibu saya di rumah nanti . Mungkin sudah tiba masanya bagi saya untuk berubah menjadi seorang anak yang solehah.
Saya sungguh gembira pada pagi itu kerana banyak pengalaman baru yang dapat saya kutipi sepanjang berada di gerai tersebut. Saya dapat belajar melayan pelanggan-pelanggan yang datang ke gerai ibu bapa angkat saya. Saya melihat dengan mata kasar saya sendiri cara kedua-dua ibu dan bapa angkat saya melayan pelanggan-pelanggan mereka. Mereka melayan semua pelanggan mereka dengan baik. Kebanyakan pelanggan yang datang ke gerai mereka terdiri daripada penduduk kampung di situ. Pada pukul 8.30 pagi, rakan-rakan saya menyusul tiba di gerai tersebut. Kedatangan mereka disambut oleh ibu angkat kami. Beliau telah menyediakan air milo untuk mereka. Beliau juga menyuruh kami menjamah nasi lemak yang dibuatnya pada awal pagi hari. Nasi lemak yang dibuat oleh ibu angkat kami sangat sedap sehingga tidak terkira tapi agak pedas sehingga saya meneguk hampir 3 gelas air untuk menghilangkan rasa pedas itu.
Selesai sahaja bersarapan, Kak Baiti terus membawa kami berjalan-jalan ke pasar yang berdekatan di rumah sambil membeli bahan-bahan mentah seperti ayam, ikan, dan sayur-sayuran. Sementara Kak Baiti sibuk membeli barang makanan di pasar, saya melayan karenah Qoid yang berlari-lari di sekeliling pasar tanpa menghiraukan sesiapa di sekelilingnya. Walaupun karenah Qoid menguji kesabaran saya tapi saya tetap melayannya dengan baik. Bagi saya, melayan kanak-kanak seperti Qoid merupakan pengalaman yang cukup bermakna. Apabila saya berjaya menggembirakan hati Qoid, hati saya akan turut berbunga riang. Kegembiraan Qoid ialah kegembiraan saya jua. Selepas itu, kami menuju ke kedai runcit. Kak Baiti telah membeli sekotak telur sebagai bekalan makanan di rumah. Di kedai runcit tersebut, Qoid merengek-rengek untuk membelikannya gula-gula. Bagi mengelakkan dia terus-terusan memaksa saya membelikannya gula-gula tersebut, saya terus memberitahunya bahawa makanan tersebut boleh mengakibatkan dia mendapat penyakit kencing manis. Akhirnya, dia akur dengan arahan saya. Saya hanya membelikannya sekotak air coklat bagi menghiburkan hatinya.
Pulang sahaja di rumah keluarga angkat kami, Kak Baiti menyuruh kami menyapu dan mengemas di ruang atas rumah. Arahannya dipatuhi dengan segera. Kami terus mengemas rumah bersama-sama. Semasa mengemas rumah tiba-tiba telefon di rumah keluarga angkat kami berdering. Kami dimaklumkan bahawa mama ingin memantau keadaan di rumah keluarga angkat kami. Mama datang ke rumah keluarga angkat kami dengan membonceng motosikal yang ditunggang oleh ibu angkat kami. Ketibaan mama disambut oleh kami dengan meriah. Kami telah mempromosikan kelambu pujaan kami itu kepada mama. Mama terpegun melihatnya dan dia berazam ingin membeli kelambu tersebut bagi kegunaannya ketika berada di kampung nanti. Suara gelak tawa kami yang keriangan itu memecah kesunyian rumah yang pada mulanya muram dan suram. Mama telah mengajak kami untuk bersama-sama melawat rakan-rakan kami di rumah sebelah bagi mengejutkan mereka daripada tidur. Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah hari, mereka masih belum terjaga dari lena tidur. Kemungkinan mereka agak keletihan pada malam sebelumnya sehingga menyebabkan mereka terlewat bangun pada hari ini.
Selesai beramah mesra dengan penghuni rumah sebelah, kami bersama-sama dengan Sukri, Ibat dan Qoid telah pergi merayau di sekeliling kawasan perkampungan tersebut. Pelbagai perkara baru yang saya perolehi sepanjang perjalanan kami di sekeliling kawasan tersebut. Perkara yang tidak boleh saya lupakan ialah melihat rupa bentuk sebenar ular tedung dengan mata kasar saya sendiri. Saya dan Baizura yang berjalan pada bahagian belakang sudah mulai gementar selepas melihat ular tedung tersebut menjalar di dalam tali air sawah. Perjalanan kami diteruskan dengan misi membuang padi angin yang tidak diperlukan di dalam bendang tersebut. Kami menjerit kegelian apabila memijak lumpur lembik di dalam bendang itu. Keluarga angkat yang memerhatikan kami dari jauh hanya mampu gelak melihat telatah kami yang terjerit-jerit kegelian itu. Satu pengalaman yang sangat beerti dalam hidup saya apabila buat pertama kalinya saya dapat memancing ikan di parit yang bersebelahan dengan rumah keluarga angkat kami. Walaupun ikan yang dipancing tidak sebesar mana tapi saya tetap teruja kerana dapat mencoretkan satu pengalaman baru dalam kamus hidup saya.
Kami pulang ke rumah dengan riangnya. Ikan-ikan yang ditangkap diletakkan di dalam sebuah baldi. Kami bercadang untuk memberikan ikan-ikan tersebut kepada keluarga angkat kami sebagai kenangan. Pulang sahaja di rumah, makanan tengah hari sudah terhidang di depan mata kami. Terima kasih Makcik Hawiyah. Kami terharu dengan layanan yang diberikan. Segala jasa dan pengorbanan Makcik Hawiyah hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Makanan tengah hari kami pada hari ini sungguh lazat dan menyelerakan. Saya makan masakan ibu angkat saya dengan berselera sekali. Saya telah menyeduk nasi dan lauk-pauk dengan berulang kali. Selesai sahaja makan tengah hari, kami berehat di ruang tamu. Disebabkan aktiviti pada petang ini dibatalkan, kami telah membuat keputusan untuk melelapkan mata sekejap sementara menunggu pada pukul 5 petang. Sebelum jam menunjukkan pada pukul 5 petang, ibu angkat kami telah mengejutkan kami. Dia menyuruh kami bersiap-siap kerana mahu menghantar kami pulang awal disebabkan beliau dan ayah angkat kami ingin menghantar Sukri dan Badrul pulang ke kolej mereka masing-masing. Sebagai memastikan setiap kenangan tersimpan rapi dalam minda kami, kami telah merakam beberapa keping gambar kenangan bersama keluarga angkat kami. Hati saya berasa sungguh berat untuk meninggalkan mereka. Banyak kenangan dan memori yang tercipta sepanjang berada di sana. Segala kenangan dan memori yang tercipta di antara kami akan terus tersemat dalam ingatan saya.
Begitulah kisah hidup saya selama berada di Sawah Sempadan. Kenangan terindah dan termanis sepanjang berada di sana tidak akan saya lupakan sehingga akhir hayat saya. Banyak pengalaman yang dapat dikumpul sepanjang berada di sana. Cara hidup penduduk kampung di sana telah banyak mengajar saya untuk menghargai erti kehidupan. Benarlah kata orang, kehidupan ini diciptakan untuk mereka yang benar-benar menghargai erti sebenar kehidupan. Pengalaman menjalani kehidupan di samping orang kampung selama dua hari ini sudah cukup mematangkan saya untuk meniti segala duri dan ranjau yang sentiasa terbentang di hadapan mata. Saya sama sekali tidak akan melupakan insan-insan yang telah melayan saya dan empat orang rakan-rakan saya sepanjang berada di sana. Wajah Mak Siti Hawiyah, Bapak Abu Hassan, Kak Baiti, Badrul, Sukri, Badri dan Qoid sentiasa bermain di minda saya. Layanan yang mereka berikan kepada kami cukup mengharukan. Walaupun mereka kepenatan, mereka tetap melayan kami dengan sebaik-baiknya. Saya berjanji kepada diri saya sendiri bahawa pada suatu hari nanti saya pasti akan menjejakkan kaki kembali ke rumah agam milik Makcik Hawiyah dan Pakcik Hassan. Kenangan yang terindah di Sawah Sempadan tidak akan saya lupakan dan segala memori yang tercipta sepanjang berada di sana saya sematkan dalam minda saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan